fbpx
ZULKIFLI.

Reset Johor sambut baik pembubaran DUN, serah mandat kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Gerakan Reset Johor menyambut baik keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Penyelarasnya, Datuk Zulkifli Bujang berkata, langkah tersebut merupakan tindakan tepat bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri pada masa depan.

Menurut beliau, selepas hampir empat tahun pentadbiran kerajaan negeri, rakyat kini mempunyai peluang terbaik untuk menilai prestasi, pencapaian serta keberkesanan dasar yang telah dilaksanakan.

“Ini adalah masa yang dinanti-nantikan oleh Bangsa Johor untuk membuat pilihan secara matang, bijaksana dan adil demi masa depan negeri.

“Rakyat berhak menilai sama ada keadaan ekonomi dan kos sara hidup ketika ini benar-benar membela nasib mereka, selain meneliti sejauh mana janji pembangunan dan kebajikan yang pernah ditawarkan berjaya diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PRN Johor yang bakal berlangsung bukan sekadar proses demokrasi biasa, sebaliknya menjadi medan rakyat memberikan penilaian terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh penggal semasa.

“Rakyat Johor ialah penilai yang bijaksana. Gunakan hak dan peluang ini untuk memilih kepimpinan yang benar-benar telus, berintegriti dan mampu membawa perubahan yang realistik, bukan sekadar retorik politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Gerakan Reset Johor bersedia menyertai gelanggang demokrasi bersama parti-parti lain dalam usaha mencorakkan masa depan Johor yang lebih sejahtera, adil dan maju untuk semua rakyat.

Semalam, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor diadakan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN