fbpx

Peluang kerjaya belia, golongan lebih berusia mula seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bantuan kewangan yang disediakan kepada pencari kerja oleh PERKESO memberi manfaat kepada golongan belia. – Gambar Hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan kini memberi fokus kepada belia agar manfaat daripada pemulihan pasaran buruh negara sampai kepada golongan tersebut dalam usaha untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dikecapi semua golongan rakyat.

Selain daripada menyediakan insentif kepada belia untuk beralih kepada pekerjaan yang stabil dalam sektor formal, inisiatif juga diperkenalkan untuk memberi akses kepada lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia seperti graduan TVET dan insititusi pengajian tinggi serta lepasan sekolah.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, inisiatif-­inisiatif tersebut juga bertujuan menyeimbangkan peluang kerjaya antara golongan belia dan pekerja yang lebih berusia.

Beliau menjelaskan, beberapa faktor dikesan menjadi penyumbang utama terhadap kejutan ekonomi yang mencetuskan perubahan landskap pasaran buruh di Malaysia.

Katanya, taburan data yang dicerap Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia, bagi tempoh antara 2008 hingga 2022 menunjukkan isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan belia amat membimbangkan.

“Pada tahun lalu, kira-kira 12.8 peratus belia menganggur iaitu meningkat daripada sembilan peratus pada 2008.

“Menurut kajian oleh Kha­zanah Research Institute (KRI), pekerja muda agak terkebe­lakang dalam pasaran buruh ekoran pertumbuhaan pekerjaan tertumpu kepada individu lebih berusia dan berpengalaman.

“Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan PERKESO untuk membantu golongan belia, antaranya Program Jamin­Kerja yang menyaksikan ramai penganggur dan golongan belia berjaya keluar daripada kemelut tersebut, malah mereka kembali bekerja dan mempunyai pendapatan,” katanya.

Memperincikan pendekatan program yang direncana, Sivakumar berkata, suntikan fiskal daripada kerajaan dimanfaatkan dalam bentuk pemberian insentif kewangan kepada majikan untuk mengambil pekerja meliputi pelbagai kumpulan sasaran, termasuk belia berusia 15 hingga 24 tahun.

Sehingga 9 September tahun lalu jelasnya, program itu membantu seramai 55,837 orang mencari pekerjaan baharu, termasuk 10,034 graduan muda yang mendapat tempat perantisan peringkat eksekutif dengan ramai lagi diambil menerusi ka­tegori ‘Pencari Kerja Am’.

“Melalui program ini juga, sebanyak 73.6 peratus peserta belia dalam program berjaya mengekalkan pekerjaan mereka selepas tamat tempoh pengekalan wajib enam bulan,” katanya.

Tambahnya SIP EMP+ di bawah Belanjawan 2022 juga membantu graduan baharu dan lepasan sekolah dalam ke­langsungan hidup mereka sebelum memperoleh pekerjaan. SIP EMP+ adalah bantuan kewangan yang diberikan kepada individu yang bukan pembayar caruman PERKESO, termasuk graduan baharu dan lepasan sekolah sementara mereka mencari peluang pekerjaan baharu.

“Bantuan ini termasuk insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang diterima individu yang layak apabila ­menghadiri temu duga pekerjaan serta Elaun Persediaan Pekerjaan (EPB) yang diberikan apabila mereka bersedia untuk memulakan kerja,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI