fbpx

Anak Orang Asli trauma ke sekolah, takut diserang histeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang enggan ke sekolah kerana trauma dengan kejadian histeria yang berlaku di SK Tohoi bulan lalu. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor sepakat untuk tidak menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, kerana bimbang dengan kes histeria yang me­nyerang enam pelajar bulan lalu.

Penduduk mendakwa, keja­dian itu menyebabkan anak-anak mereka takut ke sekolah kerana bimbang terkena gangguan sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli, Dendi Johari berkata, murid-murid trauma melihat kejadian enam murid dari Kampung Penad diserang histeria depan mata.

“Kami sedar kepentingan pendidikan, bukan hendak menghalang mereka untuk me­nuntut ilmu, tetapi kejadian (histeria) tersebut menimbulkan ketakutan dan trauma kepada ibu bapa.

“Kami tidak mahu kejadian tujuh pelajar SK Tohoi melarikan diri dari sekolah berulang lagi. Lima daripada mereka meninggal dunia dan hanya dua orang yang selamat selepas tersesat dalam hutan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pos Simpor di sini semalam.

Dendi memberitahu, bagi me­ngelakkan kejadian sama ber­ulang, semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Daerah atau Negeri Kelantan harus mencari jalan penyelesaian dengan me­ng­adakan perbincangan melibatkan pengerusi dan penduduk kampung.

Sementara itu, seorang bapa, Jaafar Along, 58, memberitahu, anak perempuannya yang ber­usia 11 tahun sudah dua minggu tidak ke sekolah kerana trauma dengan kejadian histeria.

“Sebagai bapa, saya tidak mahu memaksa anaknya pergi ke sekolah. Meskipun kejadian histeria menimpa murid dari Kampung Penad, anak kami dari Kampung Simpor turut berasa takut ke sekolah,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan tindakan selepas mandi sungai tanpa kebenaran pada 23 Ogos 2015.

Selepas hampir 50 hari hilang, Mirsudiar Aluj, 10, dan Norieen Yaakob, 11, ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan di tebing sungai di kawasan hutan berkenaan.

Lima lagi rakan mereka iaitu Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8 dan Ju­vina David, 7, meninggal dunia.

Mereka merupakan Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Gawin, Pos Gob dan Kampung Penad, Pos Simpor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI