fbpx

Sesat punca tunggang lawan arus hingga Ducati terbabas di SUKE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motosikal milik suspek yang menunggang secara lawan arus di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), susur Ulu Kelang, Ampang, Rabu lalu.

AMPANG JAYA – Suspek menunggang motosikal secara lawan arus punca kemalangan maut di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) sudah tampil membuat laporan, semalam.

Siasatan mendapati, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu menunggang secara demikian kerana tersesat lalu mengambil keputusan menaiki jejambat lebuh raya SUKE untuk ke rumahnya di Kajang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek telah tampil membuat laporan polis di Balai Trafik Kajang, semalam.

Katanya, ketika kejadian suspek yang merupakan peniaga makanan dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang

“Suspek yang tersesat membuat keputusan untuk memasuki jejambat lebuh raya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.

“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya namun terus pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azam, suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.

Tambah beliau, akibat perlanggaran itu suspek mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, jari kelingking dan luka di bahu kiri serta kaki kanan.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha telah dirampas bersama dengan beberapa barang kes lain. Sebanyak enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek telah direkodkan.

“Kedua-dua buah motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam memaklumkan tangkapan tidak dibuat memandangkan keadaan suspek yang cedera parah dan sukar bergerak.

“Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan suspek stabil dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan , seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 Meter.

Sementara itu, motosikal yang ditunggang mangsa telah terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI