fbpx

Dua suspek berparang ditahan lepas 30 minit samun restoran 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian samun di sebuah restoran 24 jam di S2 Height.

SEREMBAN – Dua penjenayah berputih mata apabila ditahan polis setengah jam selepas melakukan samun di sebuah restoran 24 jam di S2 Height di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada pukul 5.10 pagi itu kedua-dua suspek lelaki berusia 19 dan 21 tahun bersenjatakan parang dan cota.

“Ketika kejadian tiada pelanggan berada di restoran tersebut. Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu restoran melaporkan premisnya disamun dua lelaki.

“Hasil siasatan mendapati suspek meluru masuk dalam premis dengan mengacukan senjata berkenaan ke arah pekerja seterusnya mengambil sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan tablet milik restoran di kaunter juruwang. Pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM2,400,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, bertindak atas maklumat, suspek berusia 19 dan 21 tahun itu berjaya ditahan di Taman Permai, Seremban kira-kira pukul 5.45 pagi iaitu setengah jam selepas melakukan jenayah samun tersebut.

“Pihak polis turut membuat rampasan beberapa barang kes termasuklah sebuah motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian ini.

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi melengkapkan siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI