fbpx

Dua rancangan tebatan banjir disegerakan atasi banjir di Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (tiga kiri) melihat keadaan parit di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang. FOTO: SADDAM YUSOFF

KLANG – Dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan dilaksanakan segera dalam mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini meliputi RTB Sungai Batu Enam, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar yang merupakan rancangan jangka panjang penyelesaian banjir kilat itu.

Katanya, pihaknya juga turut
meningkatkan kekerapan penyelengaraan sistem saliran kawasan tersebut sebagai solusi jangka pendek.

“Kejadian banjir berlaku kelmarin di beberapa lokasi sekitar daerah ini melibatkan kawasan Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja.

“Banjr tersebut disebabkan hujan yang sangat lebat dan berpanjangan melebihi tiga jam dan bertembung dengan air laut yang pasang,” katanya selepas membuat lawatan kerja sekitar Bandar Bukit Raja, di sini hari ini.

Nik Nazmi turut memberitahu banjir itu turut dipengaruhi sistem saliran dalaman tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak serta tidak dapat mengalir ke sungai kerana aras air sungai yang tinggi.

Tambah beliau, Stesen Telemetri Kampung Perepat, Kapar, telah merekodkan hujan tertinggi sehingga 98.5 milimeter (mm) pada hari kejadian.

“Ini menyebabkan status aras air Sg. Binjai, Pekan Meru, Klang meningkat sehingga 4.38 meter (m) melepasi aras bahaya iaitu 4.2m pukul 12.00 tengah hari pada hari yang sama,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan air telah surut sepenuhnya kira-kira pukul 5 petang, semalam.

“Dilaporkan sebanyak 50 hingga 100 buah rumah terjejas banjir dengan kedalaman 0.1 hingga 0.5m dan melibatkan perpindahan penduduk melibatkan 20 keluarga.

“Kawasan yang terjejas adalah di Taman Daya Meru, Taman Daya Maju, Jalan Kasban dan Persiaran Hamzah Alang selain Bandar Baru Bukit Raja dan Mutiara Bukit Raja,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan hujan lebat berterusan buat kali pertama sejak pukul 4 pagi kelmarin selepas panas
berpanjangan mengakibatkan sebahagian kawasan di Selangor dilanda bah sehingga mencetuskan panik.

Ini termasuk di Klang apabila seorang wanita berusia 57 tahun nyaris lemas selepas terperangkap dalam sebuah kenderaan utiliti sukan Perodua Aruz yang ditenggelami banjir di Jalan Meru, Taman Perindustrian Meru.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI