Sekarang ini, buka media sosial terutama Facebook orang ramai berkongsi mengenai buah durian. Maklumlah musim raja buah sudah bermula bulan lepas.
Pelbagai jenis durian ada dijual di pasaran. Pekebun, peraih dan peniaga sudah mula mempromosikan buah masing-masing daripada kelompok premium sehinggalah kepada jenis jarang jumpa (rare).
Bagi peminat durian, inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk lepas geram memakan raja buah tersebut. Ada ‘kaki durian’ yang buat road tour dari satu negeri ke negeri lain pada hujung minggu untuk memenuhi selera merasai keenakan raja buah itu.
Rupa-rupanya selain durian, sekarang ini orang turut mencari gula. Penduduk di beberapa buah negeri di utara Semenanjung mendakwa mereka sukar hendak beli barangan asas itu di kedai-kedai runcit di kawasan masing-masing.
Minggu lepas, penduduk di Gerik, Perak mengeluh berdepan masalah ketiadaan bekalan gula di tempat mereka yang berlarutan kira-kira tiga minggu.
Paling terkesan sudah tentu peniaga kecil atau penjaja makanan dan minuman kerana mereka yang banyak menggunakan gula setiap hari.
Kata mereka, seorang pelanggan hanya dibenarkan untuk membeli sepeket satu kilogram gula pasir yang berharga RM2.85.
Di Sungai Petani, Kedah lain pula ceritanya. Penduduk mendakwa peniaga letak syarat iaitu perlu membeli barangan lain atau gula premium yang berharga RM4.60 sekilogram. Jika syarat itu dipatuhi baru mereka dibenarkan untuk mendapatkan gula peket bersubsidi yang berharga RM2.85.
Kelmarin, rakan penulis beritahu ibunya yang tinggal di Jerantut, Pahang turut mengeluh kerana bekalan gula tiada di kedai runcit di daerah tersebut sejak minggu lalu, jadi si rakan ini terpaksalah membeli gula di Lembah Klang untuk dibawa pulang ke kampung.
Jika buah durian, kita semua fahamlah kerana pokok itu berbuah ikut musim. Tetapi lain pula dengan gula, adakah barangan asas itu pun bermusim?
Sikap tamak segelintir peniaga merupakan salah satu punca. Mereka mahu melariskan jualan gula premium, jadi bekalan gula biasa disorokkan.
Perkara tersebut terbongkar selepas anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) melakukan penyamaran menerusi Ops Samar 3.0 di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Situasi sama turut berlaku di Perak. Selepas serbuan dibuat oleh pihak berkuasa, rupa-rupanya terdapat bekalan gula di dalam premis tersebut.
Peniaga yang dikesan melakukan taktik kotor ini berdepan dengan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Hukuman berat wajar dikenakan kepada peniaga tamak yang menyorokkan barangan kawalan. Mereka ini patut diheret ke mahkamah.
Sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada pihak lain yang melakukan perkara sama.
Sebab itu ada pepatah mengatakan orang tamak selalu rugi.














