fbpx

Penduduk Besut akhirnya terima bantuan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (dua dari kiri) menyerahkan bantuan banjir kepada salah seorang penerima di Kota Putera, Besut semalam.

BESUT – Penantian hampir enam bulan mangsa banjir daerah ini berakhir apabila mereka mula menerima bantuan ihsan berjumlah RM1,000 setiap keluarga mulai minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, seramai 5,391 ketua isi rumah (KIR) di daerah terbabit layak menerima bantuan banjir terbabit.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM5.39 juta daripada kerajaan negeri Terengganu.

“Setakat ini, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Putera, Hulu Besut dan Jabi telah mengagihkan bantuan banjir berkenaan secara berperingkat sehingga semalam.

“Dua DUN lagi iaitu Jertih dan Kuala Besut pula dijangka akan selesai pengagihannya pada 8 Jun (Khamis) ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanafiah berkata, kesemua penerima tersebut merupakan mangsa banjir yang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS) pada musim tengkujuh lalu.

Kosmo! 19 April lalu melaporkan ribuan mangsa banjir Besut merungut masih belum menerima bantuan banjir RM1,000 biarpun musibah itu sudah lebih lima bulan berlalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri mengakui kelewatan agihan bantuan tersebut disebabkan kerajaan negeri Terengganu masih belum menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti minyak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI