fbpx

Gagal bayar cukai tanah, 122 tanah dirampas di Kuala Pilah sejak 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Faizal Abdul Manap.

KUALA PILAH – Sebanyak 122 bidang tanah dirampas oleh Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Pilah sejak 2021 sehingga kini di daerah ini susulan kegagalan pemilik membayar cukai tanah mengikut Seksyen 100 dan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, dalam pada masa yang sama sebanyak 68 hak milik masih dalam tindakan perampasan.

“Hal ini menunjukkan bahawa Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah memandang serius terhadap tunggakan cukai tanah di daerah ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah tunggakan cukai tanah sejak tahun 2021 sehingga kini.

“Bermula pada tahun 2021, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah melaksanakan pasukan petugas (task force) bagi menyelesaikan kutipan tunggakan cukai tanah yang melibatkan sebanyak 28,057 hak milik.

“Melalui task force tersebut, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai tanah sebelum tindakan perampasan dibuat. Bagaimanapun, selepas pemilik atau waris gagal menyelesaikan tunggakan tersebut, tindakan pengeluaran Notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang telah dikeluarkan kepada 567 hak milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Faizal lagi, bagi tanah yang telah dilucutkan hak, pemilik atau waris boleh membuat permohonan semula kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, katanya, sehingga 31 Mei lalu, Pejabat Daerah dan Tanah telah mengutip sebanyak RM3,765,908 cukai tanah semasa dan ia menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak 11.92 peratus berbanding kutipan cukai tanah semasa pada bulan Mei tahun lepas.

“Bagi tunggakan cukai tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah telah mengutip sebanyak RM121,044 iaitu peningkatan sebanyak 14.72 peratus berbanding Mei tahun lepas.

“Bagaimanapun, masih terdapat 8,682 hakmilik yang masih mempunyai tunggakan cukai tanah yang berjumlah RM466,647.30,” katanya lagi yang turut menyeru kepada semua pemilik tanah atau waris untuk menjelaskan cukai tanah sebelum 31 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI