Musim haji 1447H/2026M telah tiba dan lebih 31,000 jemaah dari negara bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan penuh tawaduk dan keikhlasan hati mengharapkan keredaan Allah SWT.
Penerbangan pertama jemaah haji pada Sabtu lepas melibatkan seramai 284 Duyufurahman dan penerbangan terakhir dijangka pada 20 Mei ini.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, kelihatan wajah-wajah ceria dalam kalangan jemaah yang tidak sabar untuk melakukan perjalanan suci.
Biarpun mereka sedar terpaksa berasak-asak dengan jutaan umat Islam dari seluruh dunia, ini merupakan peluang sekali seumur hidup.
Ada jemaah yang terpaksa menantikan sehingga usia 70 tahun bagi mendapat peluang mengerjakan haji berkat menabung di Tabung Haji (TH) selama puluhan tahun.
Di sebalik keghairahan umat Islam yang menerima tawaran haji, ada cerita sedih dari selatan tanah air yang menyaksikan seorang wanita terpaksa bermusafir ke Tanah Suci seorang diri tanpa ditemani mahram di sisi.
Ini kerana suaminya tidak dapat berlepas untuk menunaikan haji disebabkan majikan tempat dia bekerja tidak meluluskan permohonan cuti lebih 40 hari bagi mengerjakan ibadah yang sememangnya didambakan setiap insan bergelar Muslim.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana biarpun soal cuti di bawah budi bicara majikan, tetapi masih boleh dibuat dengan meluluskan cuti tanpa gaji misalnya bagi membolehkan impian lelaki tersebut untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Selain itu, musim haji kali ini menuntut cabaran berbeza kerana ia hadir dalam suasana dunia masih bergolak iaitu ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran dilihat masih belum reda sepenuhnya.
Diharapkan ketegangan di Asia Barat itu segera berlalu bagi meredakan keresahan hati jutaan umat Islam yang mahukan keamanan di rantau itu terjamin. Ini sudah pasti membolehkan mereka melakukan ibadah haji dengan tenang.
Jemaah haji Malaysia perlu mengambil maklum cabaran luaran seumpama ini tidak mengganggu fokus utama, iaitu menunaikan ibadah dengan tenang dan sempurna.
Justeru, jemaah perlu menjaga disiplin diri dan mematuhi sebarang arahan pihak TH dan pihak berkuasa Arab Saudi, selain mengawal emosi dalam suasana jutaan manusia berhimpun kerana ia menjadi kunci kelancaran ibadah.
Kekalkan imej jemaah paling berdisiplin sepanjang berada di Tanah Suci yang selama ini dipandang tinggi oleh negeri luar terutama tuan rumah Arab Saudi.
Ibadah haji bukan hanya dilihat dari aspek spiritual, tetapi juga cabaran kepada ketahanan fizikal serta mental. Lagi satu mengurus ego adalah kemahiran utama dalam menentukan kualiti ibadah haji.
Di tanah air kita mungkin seorang ketua jabatan atau individu dihormati, tetapi di Tanah Suci, kita cuma insan kerdil di celah-celah lautan manusia yang memakai pakaian sama, berdiri di saf sama menghadap Kaabah yang sama.
Sesungguhnya haji kekal sebagai simbol kesatuan dan kekuatan ummah dan fokus kepada ibadah dengan melupakan seketika masalah dan keseronokan dunia semoga diberikan kesihatan yang baik serta memperoleh haji mabrur.














