fbpx

Ezra Kairo mahu pikat peminat Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZRA KAIRO

MENGAWALI karier sebagai penyanyi lagu-lagu berbahasa Inggeris, jejaka dengan nama pentas Ezra Kairo kini mahu mencabar diri menembusi pasaran muzik tempatan dengan menyanyikan material bernuansa Melayu.

Biarpun masih belajar dan kekok, mahu tidak mahu, Ezra perlu menyakinkan diri dan berusaha memikat selera pendengar tempatan supaya diterima baik sebagai penyanyi yang giat membina nama.

Peluang menandatangani kontrak bersama syarikat muzik terkenal, EMI Music Malaysia menjadi platform buat Ezra mengembangkan bakat, bukan sahaja sebagai penyanyi, bahkan juga penulis lagu.

Bagi pemilik nama lengkap Daniel Ezra Mohd. Shafiq Nickleson itu, untuk memikat selera pendengar tempatan, dia perlu faham kehendak khalayak selain mengikut arus muzik semasa.

“Sebelum ini saya dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu berbahasa Inggeris. Tapi sekarang sudah sampai masanya untuk saya memikat selera pendengar tempatan dengan muzik Melayu.

“Peluang menjadi artis rakaman bawah label EMI Music Malaysia menjadi platform untuk saya mempertaruhkan bakat, selain membina nama supaya lebih dikenali,” ujarnya.

Mula menyanyi sejak berusia 16 tahun, jejaka berusia 22 tahun itu pernah mengeluarkan dua buah single lagu berbahasa Melayu, Kau Tiada pada 2020 dan Benar yang dilancarkan tahun ini.

“Percubaan kali pertama keluarkan single berbahasa Melayu tidak begitu serius. Tapi sekarang saya lebih yakin dan faham kehendak pendengar.

“Pendengar hari ini mahukan muzik yang segar dan disuntik dengan elemen terkini mengikut kehendak semasa,” jelasnya.

Mengakui lebih selesa menyanyikan lagu berbahasa Inggeris, Ezra bagaimanapun tetap mahu membuktikan kemampuannya mempersembahkan karya bahasa Melayu.

Muzik R&B

Dia percaya setiap anak seni mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

“Saya percaya pada rezeki dan yakin dengan bakat yang ada pada diri untuk menjadi seorang penyanyi.

“Jadi, saya berharap, kehadiran saya dapat diterima ramai kerana saya hanya mahu berkongsi bakat dengan pendengar muzik tempatan,” ujar peminat ratu rock negara, Ella itu.

Mengetengahkan muzik berentak R&B, Ezra turut menyimpan impian untuk melebarkan sayap seninya sehingga ke luar negara dan memilih Filipina jika diberi peluang.

“Saya mempertaruhkan muzik berentak R&B kerana masih tidak ramai penyanyi yang berani untuk membawakan genre muzik yang sebegitu.

“Sebab itu, jika saya mempunyai peluang untuk mengetengahkan bakat sehingga ke luar negara, saya teringin untuk melebarkan saya ke Filipina.

“Di sana (Filipina), muzik R&B sangat diminati. Selain berharap dapat berkongsi bakat di Filipina, saya juga berharap dapat menghasilkan lagu atau bekerjasama dengan penyanyi dari negara itu,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ezra juga mensasarkan untuk memasarkan muziknya ke Indonesia selain berhasrat dapat berkolaborasi dengan nama-nama hebat seperti Rizky Febian dan Tulus.

“Selain Filipina, saya juga bercita-cita untuk memasarkan muzik saya ke Indonesia dan bekerjasama dengan penyanyi kegemaran saya, Rizky Febian dan Tulus,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI