PETALING JAYA – Negara bakal kehilangan golongan profesional tempatan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam tempoh 20 tahun lagi apabila ramai pelajar sekolah kini enggan memasuki aliran itu.
Lebih membimbangkan, kajian Persatuan STEM Malaysia menunjukkan jumlah pelajar dalam aliran itu merosot sehingga 19 peratus di peringkat sekolah menengah di seluruh negara, sekali gus sasaran 60 peratus pelajar sains sukar untuk dicapai.
Antara kerjaya dalam bidang itu seperti jurutera, doktor, ahli farmasi, pakar teknologi, juruaudit, akauntan serta ahli sains geologi, persekitaran, kimia dan biologi.
Pakar Pendidikan Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sebilangan pelajar yang mengambil aliran STEM mengakui mereka tidak meminati bidang itu, tetapi disuruh ibu bapa.
“Angka terkini menunjukkan jumlah pelajar STEM merosot sehingga 19 peratus. Bayangkan daripada 100 pelajar, 19 orang sahaja ambil aliran sains. Kita takut jumlahnya merosot sehingga 15 atau 10 peratus.
“Di peringkat kebangsaan, perkara ini sudah menjadi kritikal. Kesannya bukan pada hari ini, tetapi 10 atau 20 tahun akan datang. Ia perlu dianggap sebagai bencana kepada negara.
“Apabila sistem pendidikan gagal membekalkan sumber manusia mahir dalam bidang STEM, maka peluang pekerjaan akan diisi oleh warga asing,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujarnya, situasi itu juga membimbangkan apabila pekerja di peringkat global kini tiada sekatan untuk bekerja di luar negara.

“Jika Malaysia ingin membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) atau pelaburan domestik yang memerlukan tenaga mahir, tetapi gagal menyediakan sumber manusia, pemain industri terpaksa membawa masuk pakar dari negara-negara lain.
“Jika negara terus berdepan isu kemerosotan minat pelajar kerana menganggap bidang ini sukar, maka pada satu peringkat, institusi pengajian tinggi akan merekodkan penurunan pelajar dengan ketara,” ujarnya.
Menurutnya, kaedah dan sukatan pembelajaran STEM di peringkat sekolah tidak lagi relevan, menyebabkan pelajar hilang minat terhadap program itu.
“Sebab itu kalau kita lihat ada sekolah yang terpaksa menutup satu kelas aliran sains kerana bilangan pelajar yang berkurangan,” ujarnya.
Kata Anuar, menerusi kajian yang dilakukan, terdapat empat perkara yang dilihat sebagai punca atau faktor kemerosotan pelajar dalam aliran berkenaan.
“Yang pertama adalah amalan kita dari segi pengajaran sains di peringkat sekolah rendah yang terlalu menekankan soal penghafalan sehingga pelajar menganggap pembelajaran STEM sangat sukar dan membebankan.
“Jadi puncanya adalah kaedah pengajaran kita dahulu terlalu exam oriented (berorientasi peperiksaan) selain mementingkan soal gred dan akhirnya murid-murid bimbang untuk melakukan kesilapan,” jelasnya.
Anuar berkata, punca kedua disebabkan prasarana dan fasiliti berkaitan sains dan matematik di sekolah tidak mencukupi bagi membolehkan pembelajaran khusus diadakan.
“Ini termasuk seperti penyediaan makmal, bahan-bahan dan uji kaji yang dijalankan semakin berkurangan.
“Kalau kita lihat ada sekolah yang guru sahaja membuat uji kaji, manakala murid hanya melihat dan menulis hasil dapatan dalam buku, sedangkan murid-murid sepatutnya melakukan sendiri uji kaji itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anuar berpandangan sukatan pelajaran sains di peringkat sekolah rendah juga tidak lagi relevan kerana disifatkan terlalu tinggi.
“Kadangkala ada murid yang tidak dapat mencapai tahap memahami mata pelajaran Sains dan Matematik. Jadi akhirnya mereka mula menolak aliran ini kerana tidak seronok,” katanya.
Selain itu, kata beliau, mutu guru-guru dalam bidang sains dan matematik juga perlu ditambah baik supaya dapat menjadi pendidik yang berkesan.
“Kalau boleh, usah ambil guru-guru yang bukan dalam bidang sains untuk mengajar. Ia akan meningkatkan kebosanan pelajar kerana guru seperti ini hanya merujuk buku teks,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya segera memberikan peruntukan untuk menambah baik makmal, menyediakan guru-guru lebih terlatih selain memperbaharui sukatan pelajaran STEM.














