fbpx

Balai Polis Triang jadi Pondok Polis setelah terbiar sejak tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman mencuba sistem perkhidmatan aduan yang disediakan di Pondok Polis Triang di Bera semalam.

BERA – Selepas kira-kira tujuh tahun terbiar, balai polis Triang dihidupkan kembali dengan pengoperasian pondok polis bermula bulan hadapan yang mengambil kira permintaan daripada penduduk setempat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, pembukaan pondok polis itu akan memberikan manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di kawasan berkenaan.

“Atas permintaan tinggi daripada masyarakat kawasan Triang ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meluluskan untuk mewujudkan semula perkhidmatan pada peringkat pondok.

“Bangunan ini telah dibaikpulih dan kita akan buka semula untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti kawasan Triang termasuk kawasan berdekatan yang dijangka beroperasi pada 1 Jun ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis High Profile Policing di Pondok Polis Triang, di sini semalam.

Balai Polis Triang dikosongkan pada 2016 selepas sebuah bangunan baharu Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bera beroperasi.

Menurutnya, bagi memastikan Pondok Polis Triang mampu memberikan perkhidmatan terbaik, pihaknya akan sentiasa melihat dan meneliti keperluan lain dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini kita letakkan anggota mengikut jumlah yang ditetapkan PDRM bagi kategori pondok polis. Namun, kita akan tengok dari semasa ke semasa kalau perlu letak keperluan lain.

“Buat permulaan ini seramai dua anggota akan ditempatkan di pondok berkenaan, tetapi mungkin akan ditambah mengikut keperluan,” katanya

Sementara itu, Batin Kampung Sungai Tuang, Berahim Busu berkata, keputusan PDRM membuka semula perkhidmatannya di Triang semestinya mengembirakan penduduk di kawasan Triang khususnya.

“Sebelum ini, bangunan ini adalah IPD, jadi sangat memudahkan penduduk di sini untuk membuat sebarang aduan, tetapi sejak berpindah ke Bandar Bera, terasa jauh bukan sebab faktor jarak tetapi sebab faktor masa.

“Dari Kampung Sungai Tuang ke Bandar Bera kadang-kadang boleh ambil masa antara 20 hingga 30 minit bergantung kepada laluan trafik, kalau waktu kemuncak, memang lama lah sampai walaupun jarak dekat,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya Pondok Polis Triang, ia sekurang-kurangnya memberikan penduduk berasa lebih selamat dengan adanya anggota yang bertugas di situ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI