fbpx

Liga Super: Sang Penyu berjaya jinakkan Harimau Kumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Engku Nur Shakir (kiri) meraikan gol kemenangan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Super TFC menentang Penang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

KUALA NERUS – Pemain gantian, Engku Nur Shakir Engku Yaacob muncul wira Terengganu FC (TFC) selepas jaringan tunggalnya membantu kemenangan 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.

Keputusan itu sudah cukup membawa TFC kembali ke landasan kemenangan untuk mengutip 17 mata di tempat kelapan Liga Super manakala Penang FC pula berada di tangga kesembilan dengan 14 mata.

Sang Penyu bermula positif menyaksikan tandukan Jordan Mintah disusuli voli menarik Syafik Ismail pada minit ke-16 terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat.

Kem tuan rumah kemudian mengatur gerak dari sebelah kanan dengan hantaran Azam Azmi Murad disambung Mintah (m-39) namun tandukan lemahnya mudah dibaca penjaga gol.

Hasrat TFC memecahkan kebuntuan sebelum rehat tidak kesampaian apabila tolakan Syafik di depan pintu gol pelawat dalam masa kecederaan sekadar melambung tinggi.

Kemasukan Nik Sharif Haseefy Nik Lazim mengubah corak permainan TFC dengan lambungan pemain sayap itu pada minit ke-62 memaksa penjaga gol merebahkan badan untuk menyelamatkan keadaan.

Peluang terbaik TFC menjelma lagi selepas hantaran Nik Sharif Haseefy disambar Mintah (m-68) tetapi bola tolakannya terkena tiang ketika penjaga gol sudah tertewas.

Serangan bertali-arus TFC akhirnya membuahkan hasil menerusi penyudah leret Engku Nur Shakir yang menerima umpanan Sony Norde untuk gol pembukaan minit ke-75.

Skuad Penyu berpeluang menambah jaringan pada hujung permainan sebaliknya ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI