fbpx

Allahyarham Awang Askandar rancang bersara awal, kembali menetap di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang Asim (lima dari kanan) bersama adik-beradik iaitu Dayang  Jebaidah, Dayang  Azizah, Dayang  Aishah dan Dayang  Kasum ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah hari ini.

PAPAR – “Sewaktu kali terakhir membuat panggilan video pada 7 Mei lalu, arwah adik sempat menyatakan hasratnya untuk bersara awal selain mahu membina rumah dan menetap di kampung.

“Malahan adik juga sempat bertanya khabar ahli keluarga di sini dan meminta kami menjaga diri. Beliau turut meminta seluruh keluarga di Sabah supaya mendoakan kejayaannya di dalam ekspedisi kali ini,” kata Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Benoni, Papar hari ini.

Awang Asim merupakan abang kepada allahyaraham Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang meninggal dunia semalam pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut ketika misi menawan puncak Everest.

Bercerita mengenai adik bongsunya itu, Awang Asim memaklumkan allahyarham Awang Askandar memang menggemari aktiviti sukan lasak termasuklah selam skuba dan aktiviti payung terjun.

Ditanya bila pertemuan kali terakhir dengan anak bongsu daripada tujuh beradik berkenaan, Awang Asim menyatakan kali terakhir berjumpa pada 31 disember tahun lalu ketika Awang Askandar sekeluarga pulang bercuti ke kampung halaman.

“Secara kebetulan ada anak saudara membuat majlis perkahwinan. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan allahyarham adik,” katanya memaklumkan Awng Askandar mempunyai enam cahaya mata berusia antara dua sehingga 12 tahun yang kini masih berada di Kedah bersama isteri allahyarham.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya masih sedang menunggu perkembangan terbaru mengenai misi membawa jenazah Awang Askandar dari Gunung Everest.

Ditemui ketika melawat ahli keluarga Awang Askandar di Kampung Benoni hari ini, Aminurrahim menyatakan pemergian Pengarah APM Kedah itu adalah satu kehilangan besar untuk APM secara keseluruhannya.

“Sewaktu percubaan kali pertama arwah (mendaki Gunung Everest, saya sendiri menasihatkan supaya semak semula. Hal ini kerana tiada keperluan untuk anggora APM bertugas di tempat ekstrem pada pendakian kali pertama itu.

“Namun pemergiannya untuk mendaki Gunung Everest buat kali kedua ini diharapkan akan jadi panduan buat pasukan APM untuk bersedia dalam cuaca ekstrem sekiranya menerima tugasan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut.

Allahyarham meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI