fbpx

Mahkamah: Keputusan kes bekas setiausaha KBS ditangguh kali keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd perlu menunggu sehingga 6 Julai ini bagi mengetahui nasibnya sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 11 tahun lalu.

Keputusan akhir kes pembelaan yang sepatutnya ditetapkan hari ini ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas Hakim Kamarudin Kamsun memaklumkan beliau belum bersedia mengumumkannya.

Sambil memohon maaf, hakim berkenaan menyatakan beliau perlu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan kes berkenaan dan mengarahkan tarikh baharu ditetapkan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman dan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol tidak membantah tarikh tersebut.

Prosiding itu telah ditangguhkan sebanyak empat kali termasuk hari ini. Keputusan sepatutnya diumumkan pada 30 Mac lalu namun ditangguhkan kepada 19 April kerana pihak pembelaan memohon masa memfailkan hujahan tambahan.

Pada 19 April, kes sekali lagi ditangguhkan sehingga 12 Mei selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan atas alasan yang sama.

Bagaimanapun, pada 12 Mei, kes ditangguhkan ke hari ini kerana mahkamah tidak bersidang pada hari tersebut.

Kes itu sudah berlangsung selama tujuh tahun sejak Otman, 64, didakwa pada pada 31 Mac 2016 manakala pihak pembelaan menutup kes pada 29 November 2022 setelah mengemukakan keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan.

Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI