fbpx

Mahkamah: Hafidz Roshdi fail hadanah penuh, interim dua anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syuhada dan Hafidz

SHAH ALAM – Pelakon Hafidz Roshdi memfailkan dua hadanah (hak penjagaan) iaitu penuh dan interim (sementara) terhadap dua anaknya Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Perkara itu disahkan peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd.Latiff yang mewakili Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut peguam syarie itu, tuntutan hadanah penuh difailkan Hafidz selaku plaintif pada 18 April lalu dengan menamakan Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, iaitu isteri Hafidz sebagai defendan.

Sementara bagi hadanah interim pula, tuntutan itu baru difailkan pada Jumaat lalu (12 Mei).

Kata peguam syarie itu, hadanah interim difailkan agar anak guamnya diberi hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.

“Jadi suatu perintah interim adalah perlu supaya suatu sistem hak lawatan dapat dijalankan, khususnya anak-anak yang semestinya memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada kedua ibu bapa mereka,” kata peguam syarie itu lagi.

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 20 Jun ini bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerai Hafidz dan Shuhada.

Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan terdapat isu berhubung lafaz cerai luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shuhada memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Untuk rekod, Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Shuhada menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI