fbpx

Jaga nama baik negara pesan Raja Libas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALLAHYARHAM Adnan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986 kerana kehebatannya dalam sukan sepak takraw.

ALOR SETAR – “Kalau nak main, main betul-betul. Jaga nama yang dibawa tidak kira sama ada nama kita, negeri atau negara.”

Itu pesanan legenda sepak takraw tanah air, Adnan Saidin, 66, yang terus kekal dalam sanubari anaknya, Mohd. Faizal, 38, untuk dipanjangkan kepada generasi baharu sukan tanah air.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat kami dan saya masih rasa sebak kerana kehilangan bapa. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Suraya Abdullah, 53, dan enam anak.

“Bidang sukan sentiasa ada dalam jiwanya, tidak kira acara apa sekali pun. Sebelum dima­sukkan ke hospital pun, beliau ada menonton acara-acara Sukan Sea Kemboja 2023 kerana beliau sentiasa mengambil tahu mengenai sukan tanah air,” kata Mohd. Faizal.

Sementara itu, Presiden Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan menyifatkan pemergian Adnan sebagai kehilangan permata yang bernilai dan terkilan tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham kerana berada di Kemboja.

Kata Sumali, Malaysia kehilangan ikon sepak takraw sebenar kerana auranya dalam sukan tersebut bukan sahaja digeruni dalam negara, malahan di rantau Asia hingga digelar Raja Sepak Takraw Asia

“Bagi saya ia satu kehila­ngan cukup besar kepada sukan sepak takraw negara. Perginya beliau tiada galang ganti sebagai Raja Libas Asia.

“Adnan banyak mengharumkan nama dan berjasa kepada negara. Kita rasa kehilangan beliau kerana Adnan bukan sahaja hebat dalam negara, malah cukup hebat di rantau Asia,” katanya.

Adnan Dilahirkan di Kedah pada 25 Februari 1957 dan mula bermain sepak takraw sekitar usia 10 tahun.

Beliau mewakili skuad ne­geri dan kebangsaan bermula 1976 hingga 1986.

Adnan bermain di posisi apit kiri sebagai perejam. Libasan beliau yang tajam dan kencang sangat digeruni pihak lawan hingga mendapat jolokan Raja Libas.

Pada Sukan SEA Jakarta 1979, apit kanan pihak lawan rebah dan sesak nafas apabila bola yang dilibas Adnan telah beberapa kali terkena pada badannya bila cuba membuat hadangan.

Banyak kejuaraan dimenangi beliau antaranya adalah pingat emas di Sukan Sea Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983.

Arwah juga menjadi juara pada Kejohanan Antara Regu Asia yang pertama di Kuala Lumpur (1984), Kejohanan Piala Thai Raja Thailand (1985) dan Kejohanan Regu Mas / Utusan/ RTM (1985 dan 1986).

Beliau diberikan penghormatan tertinggi apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia pada Kejohanan Regu MAS / UTUSAN / RTM – Kuala Lumpur (1986).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI