PETALING JAYA – Gelagat seekor unta yang dibawa untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Taman Harmoni, Kajang mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial hari ini.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Am.asyrafmhd, beberapa gambar memaparkan haiwan tersebut berada di lokasi penyembelihan sebelum proses korban dijalankan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen memandangkan korban unta jarang dilihat dilakukan di kebanyakan kawasan di negara ini berbanding lembu atau kambing.
“Hei semuanya, selamat Hari Raya Aidiladha. Tempat aku buat korban lembu… eh silap unta,” tulisnya berseloroh pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan keterujaan kerana berpeluang melihat unta secara dekat selain ada yang mengakui sudah lama tidak menikmati daging haiwan berkenaan.
Seorang pengguna dikenali sebagai @k72a74 berkata, korban unta pernah menjadi trend sekitar awal tahun 2000 dan dia sendiri pernah merasa daging haiwan itu beberapa kali.
“Alhamdulillah. Lama tak jumpa korban unta ni. Awal 2000 memang jadi trend. Dapatlah rasa dua tiga kali daging unta,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna mempersoalkan harga seekor unta yang dipercayai lebih mahal berbanding lembu.
Menjawab pertanyaan tersebut, pemilik hantaran memaklumkan haiwan berkenaan dikatakan bernilai sekitar RM42,000 seekor. – KOSMO! ONLINE














