PETALING JAYA – Majikan terpaksa menanggung rugi sekurang-kurangnya tiga kali ganda kos operasi yang mencapai nilai jutaan ringgit, hanya kerana pekerja sering mengambil sijil cuti sakit (MC) palsu sehingga cuti sakit yang diperuntuk dalam tempoh setahun habis digunakan.
Kerugian besar tu dipengaruhi kos untuk mendapatkan pekerja ganti termasuk melakukan kerja lebih masa bagi memastikan syarikat dapat berjalan seperti biasa serta pembayaran gaji asas mereka.
Majikan juga terpaksa membayar semula bil perubatan palsu yang dituntut pekerja terbabit bernilai ratusan ringgit, biarpun MC palsu yang dibeli mereka semurah RM30 sahaja.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, cuti sakit sebanyak 22 hari dan 60 hari pula jika dimasukkan ke hospital sebenarnya sudah cukup membebankan majikan.
Menurut beliau, kos yang ditampung untuk cuti itu yang disediakan majikan mampu mencapai jutaan ringgit sekiranya pekerja mengambil kesemua cuti sakit dalam setahun.
“Malah, jika pekerja sering mengambil MC palsu, pastinya majikan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi disebabkan sikap tidak berintegriti ini.
“Dengan mengambil MC palsu, majikan terpaksa membayar kos perubatan pekerja yang kebanyakannya melebihi RM100, diikuti gaji mereka dan juga kos untuk mendapatkan pekerja lain bagi melakukan kerja lebih masa.
“Kos-kos berkenaan mampu meningkat sekurang-kurangnya tiga kali ganda untuk seorang pekerja sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ujarnya, syarikat-syarikat yang tidak menyediakan klinik panel didapati sering menjadi ‘mangsa’ penipuan dalam kalangan pekerja mereka.

Jelasnya, MC palsu mudah didapati jika majikan tidak melantik klinik panel kerana pekerja boleh mendapatkan rawatan di mana-mana klinik yang mereka inginkan.
“Kemungkinan mereka mendapatkan MC palsu ini daripada klinik-klinik yang bukan dilantik sebagai klinik panel syarikat.
“Ditambah pula kemajuan teknologi yang semakin canggih pada masa kini membolehkan sijil cuti palsu itu sukar dikesan keaslian,” ujarnya.
Menurutnya, kesukaran mendapatkan MC daripada doktor klinik panel atau kerajaan menjadi punca pekerja sanggup membeli sijil cuti sakit palsu.
“Bukan itu sahaja, kehabisan cuti tahunan serta kelemahan majikan yang tidak memantau dengan ketat MC yang diserahkan oleh seseorang pekerja turut menjadi punca,” ujarnya.
Menurut beliau, majikan tidak perlu takut jika kehilangan pekerja seperti itu, sebaliknya serius memerangi mereka yang menggunakan MC palsu.
“Penggunaan MC palsu adalah satu kesalahan jenayah dan hendaklah dilaporkan kepada pihak polis supaya mereka terlibat boleh didakwa,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak menafikan masih wujud pekerja membeli MC palsu.
Katanya, majikan perlu melihat lebih mendalam berhubung masalah itu kerana terdapat dua sebab pekerja berbuat demikian.
“Kadangkala mereka terdesak mahukan cuti atas masalah peribadi atau malas bekerja. Kemungkinan juga ada yang tertekan di tempat kerja,” ujarnya.
Mereka yang menggunakan MC palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.













