fbpx

OPR naik bukan tindakan kejam – Gabenor BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Shamsiah (kanan) bergambar bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin selepas selesai membentangkan pengeluaran statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada paras 3.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini, bukanlah satu tindakan yang kejam sebaliknya bertujuan mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus ketika diminta mengulas mengenai tanggapan bahawa BNM bertindak kejam dengan menaikkan OPR ke paras 3.0 peratus pada sidang akhbar pengeluaran statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Tahun Pertama 2023 di Sasana Kijang, di sini hari ini.

“Mana lagi kejam kalau inflasi kita di luar kawalan? Kalau kadar inflasi kita naik mendadak, kuasa beli semua orang akan terkesan tanpa mengira anda mempunyai pinjaman atau tidak.

“Jadi, kita naikkan OPR kerana kita mahu memastikan ekonomi berkembang secara mampan dan bukan saja untuk hari ini, tapi untuk bulan dan tahun yang mendatang,” jelasnya.

Terdahulu, BNM dalam satu kenyataan memaklumkan kenaikan OPR ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing turut meningkat kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

“Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019,” katanya.

BNM turut memaklumkan kebanyakan bank pusat mengekalkan dasar kewangan yang ketat.

Selain itu, Nor Shamsiah turut menegaskan bahawa BNM adalah badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh campur tangan luar dalam membuat sebarang keputusan berkaitan dasar monetari termasuk penetapan OPR.

Jelasnya, penetapan OPR adalah bidang kuasa BNM melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

“MPC adalah bebas dan anda boleh melihat dari polisi kami yang mengatakan dasar monetari yang dilaksanakan tanpa pengaruh luar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI