fbpx

16 pemborong utama mula edar gula di Pantai Timur – KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 16 pemborong utama gula mula mengedarkan bekalan bahan berkenaan di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, pengedaran itu melibatkan enam pemborong utama di Kelantan dan 10 pemborong utama di Terengganu.

Katanya, hasil laporan Task Force Op Manis negeri Kelantan, sebanyak 280 premis melibatkan 263 pemborong dan peruncit serta 17 pasar raya telah diperiksa dan mendapati bekalan gula ada hasil pengedaran termasuk penghantaran yang dibuat oleh enam pemborong utama.

“Pasar raya utama iaitu Mydin telah menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini dengan menjadikan jumlah stok bekalan gula sebanyak 71,040 kilogram (kg) daripada syarikat MSM.

“Manakala pasar raya yang mengambil bekalan dengan Distribution Centre (DC) seperti Econsave, Aeon Mall, Giant dan Lotus masih lagi mempunyai bekalan namun tidak mampu memenuhi permintaan setempat dan sedang menunggu penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata melalui Task Force Op Manis KPDN Terengganu pula, sebanyak 148 premis melibatkan pemborong, peruncit dan pasar raya menerima bekalan hasil edaran daripada 10 pemborong utama.

“Pemborong utama iaitu Shanghai Hung Chong Sdn. Bhd. menerima jumlah bekalan gula tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 45,360 kg daripada syarikat CSR.

“Hasil laporan yang diterima mendapati negeri Terengganu menerima bekalan gula tertinggi iaitu sebanyak 141,768 kg daripada MSM dan 127,760 kg daripada CSR,” ujarnya.

Jelasnya, KPDN turut melakukan pemeriksaan ke atas 116 pemborong selain menerima dua aduan berhubung bahan berkenaan, namun tiada kes direkodkan di dua negeri tersebut.

“Ketika ini di Kelantan mempunyai sebanyak 147,840 kg gula manakala di Terengganu 269,528 kg,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI