GEORGE TOWN – Pemilik kebun durian premium di Balik Pulau di sini terpaksa menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit apabila lebih 2,000 pokok raja buah itu terjejas akibat dibadai ribut sejak Khamis lalu.
Kejadian ribut itu mengakibatkan 30 tan durian pelbagai jenis yang masih belum masak gugur dan rosak.
Pemilik kebun, Tan Chee Keat, 32, berkata, dia sendiri mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila buah jenis duri hitam atau black thorn, musang king, hor lor, udang merah, 604, D15 dan durian kahwin luruh sebelum tibanya musim durian yang dijadual bermula minggu ini.
Katanya, kemusnahan itu membabitkan 2,000 pokok durian yang ditanam di tanah seluas 40 hektar daripada 93 hektar keseluruhannya.
“Jika diikutkan, kesemua buah itu dijangka masak dan mula luruh seminggu lagi iaitu pada musim durian pertama awal Mei ini.
“Bagaimanapun, agak malang apabila buah-buah itu gugur sebelum masak elok selain ada dahan yang patah. Kebanyakan saiz buah masih kecil.
“Memang tak sangka, kejadian ribut berlaku secara tiba-tiba ketika cuaca panas terlampau. Ini adalah pengalaman yang jarang-jarang berlaku kepada saya selama mengusahakan kebun durian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Keat memberitahu, durian muda yang gugur akan dibakar untuk dijadikan baja, manakala buah yang belum masak elok akan disimpan serta diproses menjadi biskut.
“Akibat kejadian ribut ini, setiap pokok hanya tinggal kira-kira 20 hingga 30 peratus buah. Menangis juga lihat buah-buah yang luruh itu dilonggok sebelum masak.
“Kami ingatkan tahun ini ada hasil lumayan, tetapi berlaku sebaliknya. Bencana alam telah merampas impian pekebun untuk bergelar jutawan durian tahun ini. Kami berdepan kerugian yang amat besar,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dia reda dengan apa yang berlaku selain menganggap ia sebagai tiada rezeki dan mengakui bencana merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam pertanian.
“Kejadian ini mungkin menyebabkan tempahan durian pada musim pertama minggu ini terjejas.
“Nampak gaya kena tunggu musim kedua awal Jun dan ketiga pada pertengahan Julai nanti. Namun, kami sedaya upaya mahu menepati permintaan pelanggan terutama penggemar durian premium,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha durian di Balik Pulau yang mahu dikenali sebagai Ah Seng, 45, memberitahu, dia bimbang kemungkinan tidak dapat menunaikan tempahan pelanggan pada musim pertama buah luruh minggu ini.
“Ini kerana, buah durian yang berada di atas pokok kini sedang menjalani proses terakhir sebelum masak dan luruh ke tanah. Angin kuat atau ribut yang menggongcangkan buah di atas pokok menyebabkan durian ‘jatuh sakit’ dan menjadi kurang manis.
“Ini yang dirisaukan tetapi kami yakin perkara ini dapat diatasi pada musim kedua Jun ini. Ketika ini, kira-kira 30 peratus pelanggan dari China, Hong Kong dan Singapura sudahpun membuat tempahan tiket penerbangan untuk bercuti ke sini.
“Kehadiran mereka semata-mata mahu merasai kenikmatan raja buah premium pada setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu katanya, peminat durian tempatan juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menempah durian eksklusif dari dusun Balik Pulau pada tahun ini.
“Kebanyakan mereka terdiri daripada kakitangan syarikat-syarikat korporat dan pengilangan.
“Namun, kami tidak dapat memberi kata putus berhubung jumlah yang dipesan itu disebabkan situasi ribut yang berlaku kali ini benar-benar di luar jangkaan,” tambahnya.













