fbpx
Mohd. Azrul (kiri) dan anak sulungnya, Ahmad Qashri ketika ditemui di Gua Musang baru-baru ini. – AIMUNI TUAN LAH

Kanak-kanak 5 tahun saksi ibu dibunuh depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Biarpun sudah lapan tahun berlalu, dua beradik masih sukar melupakan detik-detik ibu mereka diperkosa seterusnya menjadi mangsa pembunuhan kejam dalam kejadian di Kampung Batu Papan di sini pada Mac 2015.

Biarpun masih kecil, Ahmad Qashri, 13, dan adiknya, Qashri Adli, 11, yang ketika itu berada dalam rumah masih mengingat dengan jelas detik-detik kejadian menyayat hati tersebut yang berlaku pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, 1 Mac 201. Turut berada di dalam rumah adik mereka, Qashri Adam, 9,

Suami mangsa, Mohd. Azrul Isahak, 38, berkata, dua anaknya, Ahmad Qashri dan Qashri Adli dapat menceritakan kejadian yang menimpa ibu mereka secara terperinci kepada ahli keluarga sehingga hari ini.

“Keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka sehingga sekarang walaupun pelakunya sudah dijatuhi hukuman mati pada tahun 2018,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Hentian Gua Musang di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada sembilan anak itu memberitahu, Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut ala kadar oleh mereka anak-beranak.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga tiga anak bersama arwah isteri (Yashmin Fauzi), tiga anak dengan isteri hasil perkahwinan baharu serta tiga lagi anak tiri.

“Perbelanjaan untuk keperluan keluarga agak besar dan sambutan Aidilfitri tahun ini hanya ala kadar kerana kami perlu berjimat-cermat untuk kegunaan selepas raya,” katanya.

Mohd. Azrul merupakan penjawat awam dengan gaji RM1,700 sebulan dan jumlah itu hanya sekadar cukup makan bagi mereka 11 beranak.

Pada 1 Mac 2015, Yashmin yang ketika itu berusia 26 tahun ditemui mati dalam keadaan terba­ring berlumuran darah dan separuh sedar atas jalan oleh suaminya yang bertugas sebagai anggota polis bantuan.

Kejadian itu berlaku pukul 2.40 pagi ketika Mohd. Azrul bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang berasa tidak sedap hati, lalu pulang ke rumahnya.

Semasa tiba, dia menemui isterinya berlumuran darah atas jalan kira-kira 100 meter dari rumah mereka dengan kesan leher dikelar.

Ketika kejadian, mangsa tinggal di rumah bersama tiga anak lelakinya termasuk yang sulung berusia lima tahun.

Pada 31 Januari 2018, Mohammad Awari Ahmad, 25, yang juga penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu selepas didapati bersalah membunuh dan merogol mangsa.

Tertuduh didapati mempu­nyai niat menyebabkan kematian mangsa sekali gus menolak alasannya yang mendakwa tidak berniat untuk melibas parang.

Sebelum kejadian, tertuduh membawa kayu untuk merompak mangsa, namun meninggalkannya di luar rumah sebelum mengambil parang dalam di rumah berkenaan.

Kejadian itu turut disaksikan anak mangsa berusia lima tahun yang ketika memberi keterangan memberitahu ibunya disembelih. Pemeriksaan mendapati ada dua kesan kelar di leher mang­sa. Tertuduh mengaku merogol mangsa selepas mencederakan wanita itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN