fbpx

JPJ keluarkan 14,514 notis kepada motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (dua dari kanan) ketika hadir di Operasi Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh di Perak semalam. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Sebanyak 14,514 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan sepanjang lapan hari Advokasi dan Operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 18 April lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, data yang direkodkan sehingga kelmarin itu diperoleh hasil pemeriksaan ke atas 51,039 buah motosikal di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 500 buah motosikal disita membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta kenderaan tiada perlindungan insurans.

“Daripada 14,514 notis dikeluarkan, tiada lesen memandu kompeten (CDL) merekodkan jumlah tertinggi dengan 4,583 notis diikuti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600), tiada insurans (2,364), CDL tamat tempoh (168), tidak memakai topi keledar (160) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120).

“Kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan di 291 lokasi operasi di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Advokasi dan Op Motosikal sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 di sini malam tadi.

Menurut beliau, dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, JPJ telah memberi tumpuan kepada tindakan advokasi dan penguatkuasaan secara bersasar membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, fokus tersebut berdasarkan rekod kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng adalah lebih tinggi berbanding pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 65 peratus.

Dalam pada itu, mengulas operasi bersepadu disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan bermula pukul 8 malam tadi, beliau berkata, sebanyak 1,085 motosikal diperiksa dengan 140 kenderaan diambil tindakan membabitkan 196 kesalahan.

“Bagi Op Khas Motosikal di negeri ini dari tempoh 18 April sehingga kelmarin, sebanyak 7,146 buah motosikal diperiksa di mana daripada jumlah itu 1,313 buah motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI