fbpx

Tanah runtuh: Jalan khas dibina keluarkan 50 kenderaan tersadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tanah runtuh di pintu masuk bangunan SPRM yang dianggarkan berkeluasan 12,000 kaki persegi. Foto: AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memfokuskan operasi mengeluarkan 50 buah kenderaan yang tersadai akibat runtuhan tanah di luar bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, semalam.

Bagaimanapun, berlaku sedikit halangan ekoran masih berlaku pergerakan tanah kira-kira jarak satu meter di lokasi insiden itu yang mampu menjurus kepada runtuhan susulan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan awal mendapati tiga tahun lalu turut berlaku gelinciran tanah di lokasi yang sama dan bangunan MACA juga sudah berusia hampir 40 tahun.

Tambah beliau, kerja pemasangan cerucuk besi dan binaan jalan baharu akan dilakukan bagi memfokuskan urusan pindah keluar kenderaan milik kakitangan bangunan tersebut yang tersadai.

“Kerja memasang cerucuk besi di seluruh kawasan runtuhan pula memerlukan masa dua minggu bermula Jumaat ini dan laluan tersebut juga diarah tutup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi penyelamat berhubung insiden tanah runtuh itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai bercakap pada sidang akhbar berhubung kejadian tanah runtuh di MACA, di IPD Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON

Tambah Eng Lai, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang 10 alat pengesan pergerakan tanah di kawasan strategik bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan yang bertugas di lapangan.

“Alat tersebut akan memberi isyarat kepada pegawai yang terlibat dan petugas yang berada di sekitar kawasan itu akan diarahkan untuk beredar sekiranya berlaku runtuhan susulan.

“Setakat ini penilaian banggunan di sekeliling tapak lokasi kejadian masih lagi selamat,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik berkata, kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air punca berlaku runtuhan tanah di hadapan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, semalam.

Menurut beliau, kebocoran paip pada sistem perpaipan telah menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.

Disebabkan kejadian itu, sebahagian tembok penahan tersebut telah runtuh bersama-sama dengan tanah cerun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI