fbpx

Pelanggan datang, tapi mereka hanya cuci mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

DUNIA kini berubah dengan cepat selari dengan peredaran masa yang memerlukan kita sentiasa lebih peka demi survival mencari sesuap nasi dan jika kita terleka, akan ketinggalan jauh.

Begitu juga dengan dunia bisnes, kita perlu membiasakan diri dengan teknologi semasa agar dapat pergi lebih jauh dalam mengaut laba sebanyak mungkin bagi mencapai kehidupan lebih selesa.

Ketika Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu, ramai peniaga bertukar kepada urusan dalam talian disebabkan kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hasilnya peniaga mengaut banyak keuntungan disebabkan tidak perlu menyewa premis.

Tidak hairanlah ketika musim perayaan ini, peniaga yang mengambil langkah sama untuk mempromosikan baju raya mendapat sambutan berbanding mereka yang berjualan di bazar Aidilfitri.

Dengan pelbagai aplikasi dalam talian termasuk yang terkini TikTok, ia digunakan sepenuhnya bagi mereka yang tahu mengambil kesempatan untuk mencari rezeki kerana tahu dengan cara itu, boleh menembusi pasaran lebih meluas berbanding kaedah konvensional.

Semua ini menjadi igauan ngeri buat peniaga baju raya di beberapa lokasi jualan sekitar Kuala Lumpur apabila Kosmo! melaporkan, jualan peniaga online meranapkan usaha mereka yang berniaga barangan raya di gerai.

Ini disebabkan peniaga online menjual baju raya yang sama pada harga lebih murah kerana mereka tidak perlu menyewa tapak yang dikatakan berharga RM20,000 sepanjang 20 hari beroperasi sepanjang Ramadan, selain tidak perlu menggaji pekerja.

Malah lebih teruk, peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur mendedahkan, bukan tidak ramai pelanggan yang datang, tetapi mereka hanya lalu untuk mencuci mata tanpa membuat pembelian.

Seorang peniaga memberitahu, inilah saat paling teruk dalam sejarah hidupnya yang menjalankan perniagaan sempena hari raya selama 20 tahun di situ.

Keadaan ini dikatakan berlaku disebabkan penjual di bazar Aidilfitri meletakkan harga mahal pada baju dijual dan pelanggan beralih mencari yang lebih murah di TikTok, sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Mungkin ada benarnya dakwaan ini kerana penulis sendiri ada pengalaman ketika membeli pakaian raya di Jalan TAR sebelum pandemik melanda negara.

Pada mulanya, masuk ke dalam kedai untuk mencari baju raya sebelum bergerak ke gerai di belakang premis itu. Alangkah terkejutnya selepas beberapa meter keluar dari kedai tersebut, sebuah gerai menjual jenama dan warna baju yang sama pada harga RM129, sedangkan di dalam kedai harganya cuma RM89.

Pengguna sebenarnya suka membeli secara online kerana menjimatkan masa, mempunyai banyak pilihan, selain tidak perlu memikirkan tentang masalah parkir kenderaan dan paling penting harganya jauh lebih murah.

Justeru, peniaga kena berubah dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual pada harga mahal kerana pelanggan ada banyak pilihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI