SEREMBAN – Negara melakar pencapaian penting dengan pelancaran Jurnal AL-TAQRIR yang merupakan jurnal perundangan Syariah dalam talian pertama di Malaysia iaitu.
Inisiatif berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang dilihat mampu memperkukuh dokumentasi serta perkembangan ilmu perundangan Syariah di negara ini.
Peluncuran jurnal tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sempena Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan (KOPKES 2026) yang berlangsung di Seremban, di sini semalam.
Menurut beliau, penerbitan jurnal itu merupakan langkah berani dan progresif dalam mendokumentasikan penghakiman serta khazanah perundangan Syariah untuk rujukan dunia akademik.
“Negeri Sembilan perlu diketengahkan sebagai hab intelektual perundangan Syariah dan adat yang disegani serta menjadi destinasi rujukan para cendekiawan dari dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, keistimewaan jurnal berkenaan terletak pada pengintegrasian penulisan alasan penghakiman dengan artikel ilmiah.
Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Kamal Bashah Ahmad Tajuddin pula menyifatkan kolaborasi itu sebagai satu gabungan kepakaran yang mampu memperkasa institusi perundangan Syariah serta memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti. – KOSMO! ONLINE














