fbpx
Nordiana atau Nor Phoenix Diana yang kini memegang gelaran APAC Wrestling Women's Champion telah beraksi di pelbagai negara termasuk Singapura, Filipina dan Britain.

Nor ‘Phoenix’ Diana tekad berusaha lebih keras dalam gusti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN memiliki tubuh yang kecil, Nor Diana Khamarulzaman, 23, memiliki kudrat yang cukup kuat untuk mengangkat lawan lebih besar daripadanya.

Selain itu, gadis yang popular dengan nama samaran Nor ‘Phoenix’ Diana ini juga tanpa sebarang rasa takut mampu melompat dari atas tali gelanggang dan menghempaskan badannya ke atas lawan.

Kesemua aksi berani tersebut dipersembahkan gadis berhijab itu di atas gelanggang gusti untuk tatapan penonton.

Diana bukanlah satu nama asing bagi arena gusti negara setelah gadis yang berasal dari Kuala Lumpur itu pernah mencipta fenomena pada tahun 2019 apabila muncul sebagai penggusti pertama berhijab di Malaysia, bahkan turut dilaporkan pertama di dunia.

Kini, hampir empat tahun berlalu, Diana terus mengorak langkah ke hadapan dan berkembang mekar bak sekuntum bunga dalam arena gusti.

“Alhamdulillah, pada mulanya saya terlibat dalam sukan gusti ini sekadar minat, lama-kelamaan ia menjadi satu yang serius dan karier saya terus berkembang.

“Rezeki daripada-Nya, saya telah mencipta sejarah dunia dengan menjadi ahli gusti wanita berhijab.

“Sejak serius menceburi bidang ini saya terus bertekad untuk bekerja keras,” katanya kepada Aura.

Salah satu aksi hebat Diana di gelanggang gusti ketika berdepan dengan lawan.

Diana memberitahu, sepanjang terlibat dalam arena gusti, penerimaan orang ramai terhadap dirinya juga amat baik.

Menurutnya, peminat gusti di seluruh dunia amat menyokongnya. Mereka memahami dan melihat kemunculan Diana sebagai memperkuat wanita Muslim.

“Pun begitu, saya juga tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kebiasaan kecaman adalah daripada orang Malaysia sendiri.

“Kecaman ini mungkin disebabkan penampilan saya yang berhijab dalam sukan atau hiburan yang bukan satu kebiasaan, terutamanya buat kaum wanita di Malaysia,” jelasnya.

Kini memegang gelaran APAC Wrestling Women’s Champion, sepanjang terlibat dalam dunia gusti, gadis berhijab ini sudah bertarung di beberapa gelanggang termasuk di Singapura, Filipina dan Britain.

“Di sana saya dapat mengutip pengalaman yang berharga kerana berpeluang bertarung dengan penggusti wanita yang lagi hebat selain mempunyai saiz tubuh yang lebih besar dan teknik lebih baik.

“Malah, ketika beraksi di London, Britain juga saya mendapat sokongan yang amat baik daripada penonton,” jelasnya.

Diana bersama Ayez Shaukat yang banyak memberikan tunjuk ajar gusti kepadanya.- Foto ARKIB KOSMO!/ AMIR KHALID

Ditanya apakah pencapaian terbesar yang dicapainya sepanjang terlibat dalam arena gusti, Diana menjawab kejayaan tersenarai dalam The Forbes 30 Under 30 Asia Class of 2020 adalah satu pencapaian yang cukup bererti bagi dirinya.

Senarai tersebut menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia dengan kesemuanya berumur di bawah 30 tahun. Anugerah itu menampilkan mereka yang cemerlang dan inovatif dengan 30 penerima anugerah dipilih untuk setiap 10 kategori.

Diana menaruh harapan untuk terus dapat mengharumkan nama negara melalui sukan gusti.

Kongsi Diana, impian terbesarnya adalah untuk muncul di pentas gusti yang paling berprestij iaitu World Wrestling Entertainment (WWE) di Amerika Syarikat (AS).

Dia yang menjadikan Merdeces Mone ataupun dahulunya dikenali sebagai Sasha Banks dalam WWE sebagai idolanya juga memberitahu, pada tahun ini dia akan beraksi lebih banyak di luar negara misalnya Jepun dan AS.

Mengimbas kembali detik-detik penglibatannya dalam arena gusti, Diana berkata, semuanya berputik sejak dia berusia 14 tahun.

Pada ketika itu, dia sering menemani bapa dan adik lelakinya menonton perlawanan gusti di televisyen selain bermain permainan video gusti.

Malah, rakan-rakan sekolahnya juga tahu betapa dia menggilai gusti.

“Kerana obsesi terhadap gusti saya turut melakukan penyelidikan di internet bagi mencari ruang dan peluang untuk belajar gusti.

“Akhirnya saya bertemu dengan jurulatih saya, Ayez Shaukat Fonseka Farid. Dua bulan setelah berlatih, saya diberi peluang untuk beraksi di pentas gusti bagi menggantikan seorang penggusti wanita yang kebetulan tidak dapat menyertainya. Begitulah bermulanya momen saya dapat beraksi di gelanggang gusti,” katanya.

Tambah Diana, pada mulanya dia berasa gementar, namun dia sendiri tidak menyangka ketika berada di atas pentas buat pertama kali, dirinya seakan bertukar menjadi orang lain dan dapat beraksi dengan baik.

Menjadi ahli gusti yang berhijab, Diana mengakui sejujurnya dirinya juga berdepan cabaran yang tersendiri.

“Buat masa ini, saya seorang sahaja wanita yang berhijab di dalam sukan gusti di Malaysia dan cabarannya saya perlu berlatih dengan lelaki.

“Berlatih dengan lelaki bagus kerana saya boleh meningkatkan kemahiran dengan lebih cepat kerana mereka lebih kuat dan agresif, tetapi dari segi keselesaan saya mahu berlatih dengan pelatih wanita sebolehnya,” ungkapnya.

Diana berkata, dia amat mengalu-alukan wanita yang berminat untuk turut serta dalam sukan gusti.

“Kebiasaannya wanita malu untuk mencuba perkara baharu dan itu sendiri pernah dirasai oleh saya.

“Seseorang itu perlu mencuba sesuatu yang diminati kerana jika tidak berbuat demikian, kita tidak tahu potensi diri,” nasihatnya.

Mengulas tentang rutin harian yang dilaluinya pada bulan Ramadan, Diana berkata, biasanya dia akan ke gimnasium lima kali seminggu dan jalani latihan gusti tiga kali seminggu.

“Bulan puasa biasanya saya akan ke gimnasium sebelum sahur dan latihan gusti akan dimulakan setelah waktu berbuka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN