fbpx

Budak 2 tahun lemas dalam takungan air kumbahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Ain Nabihah (kiri) dan Mohd. Khairi Jauhari menunjukkan gambar Muhammad Azim yang lemas di dalam takungan air kumbahan di belakang sebuah rumah kedai di Kok Lanas, Ketereh semalam.

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh dan lemas di dalam takungan air kumbahan di belakang sebuah rumah kedai di Kok Lanas, Ketereh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.25 petang itu, mangsa, Muhammad Azim Abdul Rahim disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kok Lanas kira-kira 35 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 5.25 petang.

Menurutnya, berdasarkan keterangan bapa tiri mangsa, dia dan isterinya menyedari Muhammad Azim tiada di rumah kedai mereka di Jalan Kuala Krai – Kok Lanas, Ketereh.

“Bagaimanapun, mangsa dijumpai oleh ahli keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam takungan air kumbahan di belakang rumah kedai itu.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan simati telah meninggal dunia. Mayat kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa dan hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, ibu mangsa, Nur Ain Nabihah Mohd. Zamri, 24, berkata, semasa kejadian, dia dan suami, Mohd. Khairi Jauhari Mohd. Yusuf, 36, berada di sebuah kedai makan yang terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila menyedari Muhammad Azim tiada di rumah kedai mereka, dia tergerak hati untuk mencari anaknya di kawasan takungan air kumbahan.

Izzul Iffat menunjukkan takungan air kumbahan yang merupakan lokasi mangsa ditemui lemas di belakang sebuah rumah kedai di Kok Lanas, Ketereh semalam. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/ KOSMO!

“Kawasan itu berlumut dan suami meminta adiknya untuk turun ke dalam lubang kumbahan sedalam 0.4 meter untuk mencari Muhammad Azim sebelum menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Selising, Pasir Puteh, di sini hari ini.

Menurut Nur Ain Nabihah, jenazah Muhammad Azim telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jawa, Selising kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, jiran kepada rumah kedai milik bapa mangsa, Izzul Iffat Mohd. Rafi, 33, berkata, dia mengesyaki Muhammad Azim jatuh ke dalam takungan air kumbahan selepas melihat perubahan pada permukaan lumut berada di bahagian tepi lubang kumbahan.

“Saya kemudian memanggil bapa saudara mangsa yang berusia 30-an untuk turun ke dalam takungan itu sebelum menemui mangsa. Saya sempat memberikan bantuan pernafasan sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Kok Lanas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI