fbpx
SHAHEIZY SAM dan Zizan Razak.

Sam, Zizan jaga ‘periuk’ sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA ‘belalang’ berlainan padang, namun satu nuansa menyenangkan bahkan meledak pernah terhasil apabila dua hero berbeza latar itu beradu energi menerusi francais Polis Evo.
Shaheizy Sam dan Zizan Razak, dua nama yang tidak lagi perlukan pengenalan.

Mereka menderas maju dalam naratif seni masing-masing meskipun menyedari dunia seni lakonan sekarang kian dipelopori
muka-muka baharu. Tiada sekelumit rasa gugat selain mengharapkan industri lakonan, khususnya perfileman tanah air terus melangkah ke hadapan didampingi perihal membanggakan.

Buat Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd. Samad, sebagai seorang pelaku seni, dia lebih rela menjadi perbualan khalayak disebabkan ‘kerja’ daripada perihal enteng bersangkut isu peribadi.
Prinsip tersebut bukan bermakna dia tidak cakna isu ‘virus’ penyondol, kawan-kawan buat konten merapu demi publisiti atau perihal ‘kematangan’ industri yang langsung tidak dipedulikan.

SAM dan Zizan masing-masing akan kembali menggegarkan panggung dengan Polis Evo 3 memainkan watak ikonik, Inspektor Khai dan Inspektor Sani. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Sebelum buat jahat, fikir anak dulu – Sam

Sam, 41, memilih untuk bercakap hanya bila perlu atau menunggu saat produk seni kendaliannya bakal ‘berjabat tangan’ dengan audiens.

“Waktu bergulir. Saya pun pernah pernah berada pada zaman ‘prime’ atau puncak suatu ketika dahulu. Saya dah berkahwin dan menjawat posisi sebagai suami dan bapa.

“Manusia diduga dengan ujian yang berbeza-beza. Ada orang filemnya cecah juta-juta tapi Allah duga dengan situasi rumah tangga bergoncang.

“Saya pun tak berani nak cakap lebih-lebih tentang orang lain takut terpelanting kena kita balik. Sejujurnya, saya jarang ambil tahu tentang peribadi orang dan tak selalu main media sosial tapi saya tahu apa yang berlaku sekarang,” ujar Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) 2014 itu kepada Pose.

Bercakap lanjut tentang rumah tangga bersama isteri yang juga seorang pelakon, Syatilla Melvin, Sam akui, rumah tangga memang ada pasang surutnya.

“Saya bukan lelaki yang baik, jauh sekali suami yang sempurna. Ada zaman-zaman ‘nakal’. Ada semua.

“Saya selalu ingatkan pada diri apabila sudah ambil anak orang sebagai isteri, menjadi tanggungjawab saya untuk jaga dia dengan sebaik-baiknya.

“Kita kena berubah dan tinggalkan benda-benda yang tidak sepatutnya terisi dalam kehidupan rumah tangga. Sebelum kita nak buat jahat, saya selalu ingat yang saya ini seorang bapa dan saya tak nak anak jadi macam itu.

“Setiap hari, saya berusaha menjadi yang terbaik buat orang yang saya sayang. Maksudnya, jaga diri, keluarga dan hubungan dengan Allah. Saya kena selalu ke arah itu dan alhamdulillah semuanya baik-baik sekarang,” ujarnya.

Busana: SHAIFUL SAZLI HAIREE (SUT SONGKET) & KOLEKSI DEAN ISHAK Solekan & rambut: EL MANDA ZUHAIRY Tatarias: DEAN ISHAK

Kahwin? Sudah 15 tahun orang tanya – Zizan

Buah fikiran sealiran turut dikongsi sahabatnya, Zizan Razak yang masih menanti ‘rezeki’ atau jodoh untuk menjawat tanggungjawab sebagai suami. Kata Zizan, hanya Tuhan yang tahu betapa dia ingin bergelar suami kepada makhluk bernama wanita.

“Kecuali Rasulullah, kita manusia miliki kelemahan iaitu sentiasa rasa diri paling betul.

“Orang cakap itu ini tentang kehidupan orang lain tapi yang tahu kehendak dan harapan, hanya diri kita sendiri.

“Cakap pasal kahwin, sudah 15 tahun orang ulang-ulang tanya saya soalan sama. Bila dah lama sangat membujang, saya rasa macam dah relaks dan tak tergugat sangat (bila orang lain bernikah).

“Bukan saya tak pernah letak usaha pergi ‘dating’ semua. Pernah. Tapi kebanyakan situasi berakhir dengan, ‘takpalah kita kawan sajalah’,” tutur Zizan, 39.

Bakal menginjak usia 40 tahun, Zizan berkongsi antara penyesalan terbesar dalam kehidupannya.

Selain pernah ‘terbeli’ kereta mewah Ferrari, dia melahirkan kekesalan banyak peluang dibazirkan sewaktu muda.

“Kalau boleh saya putar waktu, saya nak buat semua benda. Nak badan cantik, nak pandai buat stunt (aksi lagak ngeri) dan berlawan dalam filem, nak pandai berlakon dan pandai menangis. Nak pandai semua.

“Itu antara perihal yang rasa macam, kenapalah aku tak buat betul-betul sejak dari mula. Tetapi, saya percaya rezeki ada di mana-mana.

“Tengok Shah Rukh Khan dah tua baru orang makin sedar dia bukan hanya pelakon ‘loverboy’. Macam-macam dia buat apabila usia makin meningkat,” ulas anak Terengganu itu.

SAM memilih untuk hanya ‘berbunyi’ apabila produk seninya akan bertemu dengan audiens terutama di layar perak.

Lebih aksi, emosi

Bakal muncul dengan francais ketiga Polis Evo yang dijadualkan bertemu peminat Mei nanti, Zizan dan Sam memberi satu amaran.

Kata mereka, naskhah kerjasama Astro Shaw dan Skop Productions tersebut terkandung aksi dan emosi yang bakal membuatkan audiens ‘terduduk’.

“Saya tak boleh kongsi banyak tetapi satu benda yang boleh dijanjikan. Polis Evo 3 memang lebih gempak daripada kedua-dua karya terdahulu. Aksi, komedi dan air mata semua elemen itu ada dalam Polis Evo 3,” kata Zizan.

Dalam pada itu, pengorbanan Sam memang tidak berbelah-bahagi untuk Polis Evo 3 apabila sekali lagi terpaksa melakukan transformasi fizikal demi karakter Inspektor Khai.

“Lepas Polis Evo 2, berat badan saya naik mendadak. Saya jadi bulat. Produksi cakap nak ‘shoot’ untuk yang ketiga, memang menjadi satu cabaran untuk saya nak kuruskan badan.

“Mental memang ‘barai’. Apa lagi yang nak disampaikan kepada penonton.

“Sebelum ‘shoot’ berat badan dalam 85 kilogram (kg) dan masa buat filem, turun kepada 65 kg,” terang Sam menggulung perbualan.

SERINGKALI ditebak pertanyaan tentang jodoh, tempoh menamatkan zaman bujang, Zizan tidak rimas sebaliknya mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN