fbpx

Wajarkah bencana dikait dengan dosa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Di dunia yang fana ini, bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan banjir bukanlah suatu yang asing. Ia terjadi atas takdir Allah SWT yang pasti ada hikmahnya.

Baru-baru ini misalnya dunia dikejutkan dengan gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala di Malaysia pula dengan bah besar terutama di Johor dan Pahang.

Asal saja berlaku bencana, sering kita dengar suara-suara yang terlalu taksub mengaitkan musibah yang terjadi sebagai bala berpunca perbuatan dosa yang dilakukan, seolah-olah setiap manusia yang menderita bencana itu sedang jalani proses pembersihan dosa.

Golongan ini meyakini dan hanya mampu mencanang-canang bahawa bencana-bencana terjadi adalah sebagai hukuman disebabkan kemurkaan Tuhan. Itukah sebenarnya hakikat musibah?

Memang benar ada musibah yang meliputi bencana, kemalangan, wabak dan penyakit yang terjadi kerana bala sebagaimana banjir dahsyat kepada kaum Nabi Nuh atau hujan batu menimpa kaum Nabi Lut, tetapi ada juga peristiwa Mekah dilanda banjir besar semasa zaman Rasulullah SAW, kemarau tujuh tahun zaman Nabi Yusuf AS atau penyakit yang menjijikkan sehingga luruh daging-dagingnya kepada Nabi Ayub AS.

Musibah bukan semata-mata disebabkan dosa atau bala hakikatnya merupakan cara untuk Allah meningkatkan darjat siapa jua dalam kalangan hamba-hambaNya menerusi sabar. Tanpa diberi musibah, bagaimana manusia boleh mendapat ganjaran daripada sifat sabar yang begitu tinggi pahala dan martabatnya?

“Barang siapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka dia diuji dan dicuba dengan suatu musibah.” – Hadis Riwayat Bukhari

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 155: Dan sungguh akan kami berikan kamu cubaan dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman, dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Renungi pula sabda Rasulullah SAW ini: Sesungguhnya pahala yang besar diperoleh melalui cubaan yang besar. Apabila Allah mencintai seseorang, maka Allah akan beri cubaan kepadanya” – Riwayat At-Tirmizi

Dalam sepotong hadis lagi disebutkan: “Tidaklah seorang mukmin terkena duri dan lebih dari itu melainkan Allah akan mengangkat darjat dengannya atau dihapuskan kesalahan dengannya.”

Bahkan, perhatikan mana yang disebut dulu, darjat atau kesalahan (dosa)?

Lebih menyedihkan, dek kerana taksub pemikiran sebegitu, ada netizen-netizen Islam tergamak mendoakan bencana berlaku kepada orang lain yang mereka yakini pendosa, sedangkan itu bukan akhlak diajarkan Rasulullah SAW yang tak pernah mendoakan keburukan menimpa orang lain termasuk penduduk Taif yang paling kufur dan menzalimi baginda waima ditawar malaikat untuk menterbalikkan buminya.

Penulis berasa malu apabila ada bukan Islam yang menanyakan beginikah ajaran Islam? Tidak reda dengan kemaksiatan bukanlah tiket untuk bebas mendoakan orang lain ditimpa keburukan. Bila doa minta bencana diturunkan itu tak dimakbulkan, bukankah ia akan beri gambaran salah bahawa pendosa itu telah ‘dirahmati’?

Kalau dibiarkanlah pemikiran sebegini, jangan berasa aneh kalau ada dalam kalangan bukan Islam yang menjauhi Islam apabila melihat Aceh yang paling menjunjung syariat Islam tetapi paling buruk dibadai tsunami dan mengapa ketika Sweden terang-terang membuat onar, Turkiye yang ditimpa gempa?

Penulis teringat kisah Rabiatuladawiyah yang mahu memadam api neraka kerana tidak mahu manusia menghindari dosa disebabkan takutkan neraka, sebaliknya perlu ikhlas semata-mata kerana Allah.

Hentikanlah pemikiran setara animisme zaman batu ini yang menyembah Tuhan untuk menghindari bencana. Daripada memomok bencana sebagai bala, lebih baik melihat bencana tanda Allah lebih cinta.

Memang kita boleh dan dituntut untuk berusaha mengurangkan berlakunya musibah dengan apa yang terdaya, tetapi suatu hakikat yang perlu kita insafi dan sedari terkandung dalam  ayat 96 Surah An-Nahl: “Apa yang ada sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah itulah yang kekal.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI