MANILA – Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud menggegarkan selatan Filipina hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), mendorong pusat amaran serantau mengeluarkan amaran ombak besar tsunami.
Gempa luar pesisir itu melanda pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 24 kilometer ke barat wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, kata USGS.
Video dimuat naik di laman Facebook menunjukkan sebuah pusat beli-belah dengan restoran makanan segera Jollibee runtuh di Bandar General Santos, wilayah tersebut, manakala sebuah bangunan sekolah tempatan turut runtuh di lokasi lain.
“Tuhan, ia betul-betul runtuh! Ia betul-betul runtuh! Bangunan itu betul-betul runtuh!” kedengaran suara seseorang menjerit.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, ombak tsunami berkemungkinan melanda dalam tempoh tiga jam akan datang di sepanjang pantai Filipina, Indonesia, Palau, Taiwan dan Papua New Guinea.
Pihak berkuasa Jepun pula mengeluarkan amaran tsunami untuk sebahagian besar pantainya yang menghadap Lautan Pasifik, menjangkakan ombak setinggi sehingga 1 meter (tiga kaki) melanda pelbagai kawasan bermula pukul 11.30 pagi (waktu tempatan). – AFP














