fbpx

Iktiraf M-WEZ sebagai projek nasional – TYT Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Ali merasmikan Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-15, di Seri Negeri, Melaka, hari ini. FOTO MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan projek Pembangunan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai projek nasional dan menjadi antara pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, kerajaan Persekutuan juga diharap dapat menyalurkan peruntukan sewajarnya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur bagi meningkatkan lebih banyak pelaburan ke M-WEZ.

Katanya, pada masa sama, kerajaan negeri perlu mempelbagaikan usaha menjana ekonomi Melaka dengan menarik pelabur sama ada dari dalam dan luar negara di koridor ekonomi tersebut.

“Kerajaan negeri harus memastikan pembangunan di sepanjang 33 kilometer pesisir Pantai Melaka sebagai game changer kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan melonjakkan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri sehingga dua peratus setiap tahun.

“Saya berharap kerajaan Persekutuan dapat memberi pengiktirafan kepada M-WEZ sebagai projek nasional serta menyalurkan peruntukan yang sewajarnya bagi membina dan menaik taraf infrastruktur bagi menjana pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebanyak 118 soalan lisan dan 91 soalan bertulis serta dua usul akan dibentang dan dibahaskan pada persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN Melaka (PN-Bemban), Dr. Mohd. Yadzil Yaakub tidak hadir hari ini kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, mengenai pembangunan perindustrian, Mohd. Ali berkata, tanah perindustrian di negeri ini semakin terhad susulan permintaan yang tinggi oleh para pelabur.

Katanya, Perbadanan Melaka (MCorp) perlu mengenal pasti lokasi berpotensi bagi membangunkan kawasan perindustrian baharu berdasarkan keperluan kluster pelaburan.

“Melaka kini mempunyai 22 kawasan perindustrian dan permintaan yang tinggi daripada pelabur menyebabkan kawasan sedia ada semakin terhad.

“Antara projek perindustrian baharu yang sedang direncanakan adalah Hab Ekonomi Utara MCorp Hi-Tech Park seluas 5,000 ekar dan kawasan industri di M-WEZ seluas 2,000 ekar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI