fbpx

‘Kalau anak tak jerit, mereka mahu rempuh lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Ziana bersama suaminya Sa’adon yang meninggal dunia selepas 11 jam dirawat di Hospital Melaka selepas cedera parah dirempuh kereta.

MELAKA – “Kejam, kalau anak mak cik tak jerit (mungkin) dia (pemandu) akan langgar pak cik sekali lagi.”

Demikian luahan sedih isteri mangsa yang maut selepas dirempuh, diseret sejauh 20 meter sebuah kereta gara-gara berang ditegur memasang muzik terlalu kuat di Plaza Pandan Malim di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mangsa, Sa’adon Sahat, 57, disahkan meninggal dunia selepas 11 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat kejadian malang tersebut.

Menurut Ziana Karim, 61, masih terngiang-ngiang suara anak lelakinya menjerit memang­gil bapa mereka yang terba­ring berlumuran darah selepas dirempuh kereta jenis Perodua Axia dipandu dua lelaki.

“Jarak rumah dan tempat kejadian kira-kira 40 meter. Mak cik dengar bunyi dentuman tetapi tak sangka bunyi pak cik (Sa’adon) dilanggar.

“Pak cik masa itu sudah menggeletar, belakang kepala­nya penuh darah, kalaulah anak tak jerit mahu mereka ‘sodok’ kali kedua suami mak cik, memang mereka nak bunuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Padang dekat sini.

Ujarnya, dua lagi anaknya berlari ke tempat kejadian, namun suspek telah pun melarikan diri.

“Mak cik masih terkejut, teman hidup selama 37 tahun tiba-tiba dijemput Ilahi, reda tetapi hati isteri mana tidak meratapi pemergian suami tersayang.

“Hujung-hujung waktunya, arwah sangat baik, masakkan untuk mak cik dan anak-anak, tak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa juga sempat membaik pulih rumah mereka yang sebelum ini rosak dimakan anai-anai menggunakan duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mak cik fikir macam mana nak teruskan hidup sebab sudah terbiasa ada arwah, tengok kasut arwah pun mata sudah bergenang, pakaian yang dipakainya semasa kejadian pun sudah dibuang kerana tak sanggup nak lihat lagi.

“Kini hanya anak-anak jadi penguat semangat, selain jiran tetangga yang datang memberikan pelbagai nasihat untuk mak cik jadi lebih kuat,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa berusia 20-an berkata, kejadian berlaku selepas dia dan bapa­nya menegur dua lelaki menaiki Pero­dua Axia yang memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumah di Kampung Padang.

“Kami terjaga kira-kira pukul 2.40 pagi dan keluar untuk me­minta lelaki itu beredar.

“Kira-kira beberapa minit kemudian mereka datang semula dengan muzik kuat membuatkan kami keluar semula untuk menegur,” katanya.

Berita berkaitan: Lelaki maut diseret kereta selepas tegur muzik kuat

Ujarnya, dia bagaimanapun tidak menyangka pemandu itu cuba melanggarnya sehingga terpaksa berlari ke arah belakang sebuah restoran 24 jam berdekatan untuk menyelamatkan diri.

“Kereta itu kemudian dilihat berpusing menuju ke arah bapa dan melanggar serta menye­retnya sejauh kira-kira 20 meter ke belakang kedai,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga sempat melihat bapanya berpaut di atas bonet kereta tersebut sebelum terjatuh dalam keadaan berlumuran darah.

“Kedua-dua mereka dipercayai mabuk telah melarikan diri, ayah pula disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang ketika dirawat di hospital, kini tinggal kami tujuh beradik dan ibu.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun.

Katanya, pihak polis bagaimanapun masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI