MARANG – Kegembiraan seorang fasilitator sebuah pusat tahfiz di Shah Alam, Selangor mandi bersama lima rakan sekerja berakhir dengan tragedi apabila dia maut akibat lemas di Pantai Rhu Muda di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 10.11 pagi itu, mangsa, Nabil Hussaimi Halimun Nawar, 22, meninggal dunia walaupun berjaya diselamatkan oleh salah seorang rakannya.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakan-rakannya yang juga fasilatator terlibat dalam sukaneka anjuran pusat tahfiz berkenaan di sebuah resort berhampiran lokasi kejadian.
“Program sukaneka tersebut difahamkan berakhir hari ini dan mereka menghabiskan masa untuk mandi-manda di pantai berhampiran sebelum berangkat pulang. Mereka tiba-tiba dilambung ombak besar menyebabkan mangsa telah dibawa arus sebelum lemas,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, Nabil Hussaimi Halimun telah diselamatkan rakan-rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian. – KOSMO! ONLINE














