fbpx

Isteri sertai APMM ikut jejak suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSNIA Ismail,31, (kanan) dan suaminya Nur Mohd Farhan (kiri) bersama anak mereka pada Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 2022 di AMSAS, di sini, semalam.

KUANTAN – Ibu dua anak tekad mengikut jejak suami dengan menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mengagumi kerjaya suaminya itu.

Yusnia Ismail,31, berkata, dia bangga dengan suaminya kerana sentiasa bersedia untuk negara malah sanggup melaporkan diri untuk bertugas walaupun sedang bercuti.

Suaminya, Leftenan Madya Maritim, Nur Mohd Farhan Mohd Amin, 33, dari Lumut, Perak telah berkhidmat dalam APMM sejak 2017.

“Saya memohon melalui SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia) dan dapat panggilan daripada APMM jadi saya teruskan sehingga sampai peringkat terkhir, saya cabar diri saya, kalau suami saya boleh buat, saya pun boleh buat.

“Tetapi cabaran terbesar saya lalui ketika menjalani latihan ialah apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak kerana saya tidak pernah berpisah lama dengan anak sebelum ini.

“Setiap kali saya rasa penat terutamanya ketika latihan berlari setiap pagi, saya akan fikir saya datang ke sini dan tinggalkan anak-anak jadi nekad tidak akan berhenti di pertengahan jalan,” katanya.

Yusnia yang berasal dari Muadzam Shah, Rompin, bukan sahaja berjaya menamatkan latihan malah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Wanita pada Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 2022 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, semalam.

Bercerita lanjut tentang anugerah yang diterima, Yunia memberitahu, kejayaannya itu adalah berikutan hasil bimbingan jurulatih yang terbaik, selain berada dalam kumpulan dan tempat latihan yang bagus.

Dalam pada itu, suaminya, Nur Mohd Farhan berkata, dia tidak menjangka isterinya mahu menyertai APMM namun menyokong keputusan pasangannya itu.

“Cara kerja di agensi ini berbeza, jadi untuk dia faham kerja saya elok juga dia menyertai agensi ini. Namun pada mulanya saya tidak rasa dia serius ketika memberitahu dia mahu hadir temuduga APMM.

“Pada mulanya saya tak sanggup juga sebab memikirkan dia terpaksa melalui latihan fizikal dan fikir mungkin akan membebankannya, jadi saya tidak terlalu menekan namun dia berjaya membuktikan bahawa dia mampu mengharunginya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI