ADA teori konspirasi di Hollywood yang berbunyi, ‘jika ingin senang bergelumang dalam dunia hiburan, ada jalan singkat’.
Jalan singkat yang dimaksudkan adalah menyertai pertubuhan atau kumpulan rahsia bernama Illuminati yang sering dikaitkan dengan organisasi Freemason.
Simbol mata satu atau All Seeing Eye sering dikaitkan dengan ramai selebriti ternama Barat, termasuklah Madonna, Britney Spears, Lady Gaga, Rihanna dan ramai lagi. Mereka dikatakan bernaung bawah pertubuhan Illuminati dan dijanjikan kemasyhuran dalam karier masing-masing.
Artis tempatan, Dolla yang dianggotai empat wanita energetik sering berpenampilan mencolok mata iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya turut menerima tempias dakwaan sama, terutama selepas single terbaharu mereka, Look At This dilancarkan.
‘Mata satu’
Semuanya berpunca daripada gaya tarian seakan-akan mempromosi simbol ‘mata satu’ dalam video muzik berkenaan garapan Lily Samsuddin.
“Sejujurnya, memang tiada apa-apa maksud tersirat pun tentang simbol atau logo ‘mata’ itu.
“Lagu pun Look At This. Jadi, gaya tarian mesti kena lirik lagu,” jawab Angel atau nama sebenarnya, Angelina Chai Ka Ying memberi mukadimah perbualan kepada Pose.

Ditanya lagi, sama ada Dolla bernaung bawah Illuminati, Syasya dan Sabronzo pantas menjawab: “Harapnya, orang takkan wujudkan apa yang tiada.
“Pertama sekali, saya tak rasa kami ‘layak’ bernaung bawah Illuminati (ketawa). Apa yang dipaparkan dalam klip video hanya konsep lagu baharu semata-mata.
“Mungkin macam membawa maksud ‘okey’ seperti apa yang orang tengok dalam video muzik Look At This.
“Tetapi, kami percaya apa yang kami buat. Tak semua orang akan berpuas hati. Jadi terpulang kepada interpretasi masing-masing.”
AJL, lagu anak tempatan
Meneruskan bicara, Dolla yang sudah lebih tiga tahun bersama sebagai sebuah kumpulan mempunyai banyak impian yang ingin dilaksanakan.
Mereka mahu terus membawa jenama muzik M-Pop dan akan setia bersama sebagai sebuah grup selagi diberikan ruang serta kemampuan.
“Pejam celik, sudah tiga tahun Dolla ditubuhkan. Banyak suka duka kami harungi bersama.
“Sudah tentu impian kami adalah nak lihat kumpulan Dolla terus maju ke hadapan. Buat muzik yang terus diraikan peminat.

“Kewujudan kami sebagai satu kumpulan bukan untuk memberi pengaruh negatif kepada orang ramai terutama generasi muda. Muzik Dolla sangat universal dan kami membawa nama Malaysia. Itu kebanggaan kami.
“Dalam Dolla ada Melayu dan ahli berbangsa Cina. Dari satu sudut, bawa nama Malaysia untuk membuktikan bahawa kita juga boleh buat muzik yang bagus dan berkualiti. Malaysia boleh!” jelas Syasya.
Menyentuh tentang apa lagi yang ingin dicapai sebagai sebuah kumpulan dalam masa terdekat, Dolla tidak menafikan hasrat untuk menjejakkan kaki ke pentas berprestij tanah air, Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Menjadi impian terbesar pemuzik atau penyanyi tempatan untuk berada di pentas AJL. Itu juga impian Dolla. Belum ada rezeki buat kami tapi pastinya, akan diusahakan.
“Rasanya memang sudah lama kita tak tengok ‘girl group’ bertanding dalam AJL. Mana tahu rezeki Dolla pula nanti.
“Untuk bertanding dalam AJL perlu ada lagu yang kuat dan merupakan karya ciptaan anak tempatan,” kata Tabby mewakili anggota Dolla yang lain.
Berpecah
Menyedari jangka hayat ‘girl group’ yang tidak panjang, persoalan sama turut diusulkan kepada mereka.
Enggan memikirkan suasana masa depan, Dolla bagaimanapun akur, adat setiap perkara yang wujud pastinya akan ada pengakhiran.

termasuk Kelantan.
“Buat masa sekarang, Dolla adalah tumpuan utama setiap seorang daripada kami.
“Pada masa sama, kami tidak pernah menghalang setiap ahli menceburkan diri dalam minat masing-masing.
“Macam Sabronzo minat berlakon dan tak lama lagi dia akan muncul dengan filem Pulau. Kami sebagai kawan, tumpang bangga dan gembira dengan pencapaiannya. Tapi, Dolla tetap nombor satu,” ujar Tabby menggulung perbualan.
Look At This merupakan lagu hasil ciptaan komposer Sweden iaitu Johan Gustafsson, Josefin Glenmark, Laurell Baker dan rapper tempatan, SYA.















