fbpx

Wang RM120,000 milik peribadi biaya kempen politik – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, wang RM120,000 yang menjadi subjek dalam pertuduhan salah guna harta melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bukan milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sebaliknya merupakan hasil kutipan dua majlis meraih dana untuk kempen politik beliau.

Syed Saddiq, 30, berkata, dana itu diperoleh daripada `Majlis Makan Amal Muo’ di Muar, Johor dan `Fund-raising Battle for Johor’ di Ampang, Selangor pada 7 April dan 8 April 2018 bertujuan menampung perbelanjaan kempen beliau selaku calon Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, bekas Ketua Armada tersebut menafikan wang dalam akaun Maybank atas nama Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) itu milik Armada mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sepanjang tempoh berkempen, saya telah membelanjakan RM171,675 di mana RM120,000 daripada jumlah tersebut diambil kira sebagai wang yang telah diperoleh melalui kedua-dua program majlis meraih dana.

“Wang RM120,000 itu menjadi duit peribadi saya sendiri kerana wang daripada program majlis meraih dana telah saya gantikan dengan dana simpanan saya yang telah dibelanjakan untuk kempen peribadi semasa PRU-14.

“Saya tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada Armada mahupun Bersatu sepanjang penganjuran kedua-dua program berkenaan,” ujar beliau ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding bela diri bagi empat pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut saksi pendakwaan pertama itu, akaun tersebut malah bukan akaun rasmi Armada Pusat mahupun Bersatu sebaliknya dikawal oleh Rafiq Hakim kerana perniagaan jualan cenderhati itu didaftarkan atas nama beliau selaku pemilik tunggal.

Ujar beliau, `Team Saddiq’ mencadangkan akaun baharu dibuka atas nama `Saddiq Enterprise’ namun ia mengambil masa lama untuk diselesaikan.

Katanya, Rafiq Hakim kemudian mengesyorkan akaun Maybank ABBE digunakan untuk menyalurkan sumbangan orang ramai daripada program meraih dana tersebut dan kutipan diperolehi bermula sekitar Mac 2018 hingga Mei 2018 dan berjaya mengumpul sebanyak RM120,000.

Menurut Syed Saddiq, beliau kemudian mengarahkan Rafiq Hakim memindahkan wang RM120,000 itu bagi menggantikan wang peribadi yang telah digunakan sebelum ini untuk kempen pilihan raya.

Berhubung pengeluaran wang tunai RM1 juta yang menjadi subjek dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq menyatakan, beliau tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim membuat pengeluaran wang daripada akaun rasmi Armada Pusat.

Ujarnya, pimpinan G5 Armada pernah membincangkan pengeluaran wang untuk persiapan menghadapi wabak Covid-19 dan sambutan Aidilfitri 2020, namun jumlah RM1 juta langsung tidak dibincangkan ketika itu.

“Saya menafikan tindakan Armada memberikan bantuan tersebut sebagai usaha saya untuk meraih kesempatan politik (political mileage) dalam kerjaya politik,” ujarnya sesi soal balas yang dikendalikan oleh peguam Haijan Omar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI