fbpx

Terengganu haramkan Pulau, penerbit buat rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terengganu haramkan filem Pulau

PETALING JAYA – Kontroversi filem Pulau memasuki episod baharu apabila kerajaan negeri Terengganu memulakan langkah mengharamkan tayangan naskhah tersebut di pawagam-pawagam negeri terbabit.

Susulan pengharaman tersebut, penerbit Pulau, Fred Chong mengemukakan surat rayuan selain mempelawa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu menonton filem berkenaan minggu depan.

Katanya, keputusan dibuat kerajaan Terengganu dipertimbangankan semula kerana dikhuatiri akan mempengaruhi negeri -negeri lain yang boleh mengakibatkan kerugian kepada pihak penerbitan.

Malah, pihaknya sedia ‘turun’ ke Kuala Terengganu, Isnin ini bagi berjumpa pihak terbabit bagi menjelaskan kandungan sebenar genre seram yang hangat dikatakan berunsur ‘soft porn’ seperti didakwa.

“Baru semalam kami dimaklumkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bahawa kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem Pulau membabitkan tiga pawagam di sana.

“Mungkin orang cuma nampak tiga panggung wayang, tetapi saya khuatir tindakan sama diikuti kerajaan negeri lain yang mungkin boleh melarat ke 30 atau 60 lokasi lain.

“Situasi sebegini tentu saja berbahaya memandangkan ada yang belum menonton keseluruhan filem, namun membuat kesimpulan hanya bersandarkan makluman pihak lain,” katanya kepada Kosmo! Online.

Fred berkata demikian dalam sidang media secara maya bagi memperjelaskan situasi yang dihadapi syarikatnya mengenai keputusan kerajaan negeri Terengganu.

Menurut produser WebTVAsia itu, TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari lalu dengan menjelaskan ia tidak boleh ditayangkan di tiga pawagam hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Ulasnya, alasan diberikan pihak berkenaan adalah berikutan ia memuatkan babak keterlaluan.

Menurut Fred, surat berkaitan pengharaman tersebut diserahkan kepada pihak TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu.

Tambah penerbit berpengalaman yang banyak menerbitkan filem itu lagi, surat rayuan yang dikemukakan nanti bakal disertakan bersama surat sokongan daripada Finas.

Mengulas mengenai kontroversi yang tercetus sebelum ini, Fred mengakui pihaknya berdepan kerugian besar mencecah RM500,000 apabila ramai penaja menarik diri.

Bersama kos penerbitan mencecah RM4 juta, situasi itu membuatkan mereka bimbang terutama sejak isu mengenai filem itu masih diperdebatkan ramai.

“Tentu saja segala perkara diperdebatkan ini memberi kesan kepada syarikat kami dan rakan sekutu yang sudah mengeluarkan peruntukkan besar bagi menerbitkan filem ini.

“Sebelum ini untuk setiap pemasaran filem baharu kami membuat pelaburan agak besar tetapi kali ini penaja sudah menarik balik tajaan mereka berjumlah setengah juta.

“Nampaknya hasrat membawa Pulau ke arena lebih luas terpaksa dibatalkan, malah nak bayar stesen radio supaya memainkan lagu OST (runut bunyi) filem ini juga tak dapat direalisasikan,” katanya lagi.

Menerusi sidang media sama, Fred turut meminta warga maya berhenti daripada membuat gesaan supaya mengharamkan sahaja filem berkenaan.

“Kepada netizen yang menulis komen berunsur kecaman dan boikot, saya merayu anda semua supaya menonton filem ini terlebih dulu,” luahnya.

Berdasarkan perancangan awal, filem yang dijadualkan ditayangkan pada 9 Mac depan bakal menemui penonton di 75 pawagam seluruh negara.

Pada pertengahan Januari lalu treler filem genre seram itu mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat kerana didakwa mengandungi adegan berunsur lucah dan ‘soft porn’.

LPF sebagai agensi yang bertanggungjawab membuat tapisan didesak supaya membuat semakan semula sebelum filem tersebut dibenarkan untuk ditayangkan di pawagam.

Filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu membariskan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Namron dan model Ms Puiyi sebagai antara pelakon utama.

Kontroversi adegan panas yang dikatakan tidak selari dengan budaya Malaysia itu turut meraih perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI