DILAHIR dan dibesarkan dalam keluarga sederhana, Muhammad Shahrul Izhar Rohzalmie, 21, membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, Terengganu itu kini melakar nama sebagai antara peserta Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu i-Tekad.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, kehidupan sebagai pelajar daripada golongan B40 bukan mudah, terutamanya ketika berdepan kesulitan kewangan.
“Ada masanya, saya perlu berjimat untuk perbelanjaan harian, pengangkutan dan keperluan pembelajaran.
“Namun, cabaran itu menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha mengubah masa depan keluarga,” katanya.
Mesra disapa Shahrul, remaja kelahiran Melaka itu memberitahu, minatnya dalam bidang pertanian mula berkembang selepas mengetahui tentang program agropreneur yang ditawarkan pihak universiti.
“Saya nampak ini sebagai peluang untuk belajar sesuatu yang baharu, dan pada masa sama menjadikannya sebagai kerjaya.
“Walaupun pada awalnya saya tiada pengalaman, namun saya cuba belajar dan cabar diri,” ujarnya.
Akuinya, pengalaman pertama kali mengusahakan tanaman melon manis Terengganu agak mencabar, namun hasil bimbingan mentor, keyakinan dirinya mula meningkat.
“Saya bermula dari bawah dan kosong, belajar cara menyemai benih, menjaga pokok dan memantau pertumbuhan.
“Apabila melihat tanaman ini berbuah, ia merupakan sesuatu yang sangat bermakna dan sukar digambarkan,” katanya.
Sepanjang menyertai program tersebut, Shahrul bukan sahaja mempelajari teknik penanaman moden seperti sistem fertigasi dan kawalan penyakit tanaman.
Sebaliknya, dia turut menguasai kemahiran keusahawanan termasuk dari aspek pemasaran dan pengurusan kewangan.
Tambahnya, program itu turut memberi impak besar dari segi kewangan apabila dia menerima elaun serta peluang menjana pendapatan melalui hasil tanaman.
“Ia membantu mengurangkan beban keluarga dan memberi saya keyakinan untuk berdikari di kampus,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Shahrul berkata, dia berhasrat menceburkan diri dalam bidang agropreneur dan memiliki ladang melon manis sendiri pada suatu hari nanti.
“Saya mahu menjadi usahawan muda yang berjaya dan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya penuh harapan.
Shahrul turut menasihati pelajar lain, khususnya daripada golongan kurang berkemampuan untuk tidak mudah berputus asa atau malu.
“Jangan jadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk berhenti. Jika rajin dan bersabar, kita juga boleh berjaya seperti orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk CIMB Islamic dan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang banyak membantunya dari segi kewangan serta sokongan moral sepanjang di kampus.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban, malah memberi harapan dan sinar untuk kami terus maju,” ujarnya.
Sebagai anak muda yang kini semakin menapak dalam dunia agropreneur, Shahrul berazam untuk membantu komuniti asnaf dengan berkongsi ilmu dan membuka peluang kepada generasi baharu.














