fbpx

Selesaikan isu feri tersadai sebelum LIMA’23 beraksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran di perairan Kuala Perlis dijangka siap seminggu sebelum penganjuran LIMA’23 di Langkawi pada Mei nanti.

LANGKAWI – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. menggesa pihak kontraktor supaya dapat menyiapkan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran di perairan Kuala Perlis dengan segera menje­lang Pameran Maritim dan Aeorangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Baharin Ba­harom berkata, kerja-kerja mendalamkan laluan feri perlu disiapkan sekurang-kurang­nya sebulan lebih awal, bukan se­minggu sebelum program LIMA’23 berlangsung iaitu pada 23 hingga 27 Mei depan.

“Jika kerja-kerja pengerukan dapat disiapkan sebulan sebelum LIMA’23, jadual perjalanan feri boleh disediakan lebih awal.

“Kami sudah menerima pertanyaan daripada penumpang berhubung perjalanan feri dan penjualan tiket menjelang penganjuran program antarabangsa tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut Baharin, buat masa ini, pihaknya belum dapat menyediakan jadual perjalanan feri dengan lebih awal kerana terpaksa bergantung kepada paras air laut yang tidak menentu.

Berita berkaitan: LIMA’23: Perkhidmatan feri Langkawi diberi perhatian

Dalam pada itu, kata beliau, perjalanan feri pada 1 dan 2 Mac depan terpaksa dibatalkan berikutan air surut kurang daripada paras 1.6 meter (m) menyebabkan keadaan yang tidak selamat untuk feri berlabuh.

Katanya, kebiasaannya terdapat lima perjalanan feri bagi la­lu­an Kuala Perlis-Langkawi setiap hari.

“Paras air laut di alur pelayaran Kuala Perlis berada di bawah 1.6 meter yang mana ia tidak selamat untuk dimasuki oleh feri.

“Sehubungan itu, penum­pang dinasihatkan supaya mengguna­kan laluan Langkawi-Kuala Kedah bagi dua tarikh tersebut,” jelasnya.

Ketika ini, katanya, sebanyak lima perjalanan feri sehari disediakan bagi laluan Kuala Kedah dan akan ditambah mengikut permintaan penum­pang.

“Perjalanan bagi feri membawa penumpang dan kende­raan jenis Roll On Roll Off (RORO) bagaimanapun tidak terjejas ke­rana jenis feri digunakan adalah berbeza,” katanya.

Kosmo! pada 10 Februari lalu melaporkan isu berkaitan feri yang terhad selain alur pelayaran di Kuala Perlis yang cetek dikhuati­ri akan menjejaskan kemeriahan LIMA’ 23, sekali gus memberi kesan kepada pempamer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI