fbpx
Kanan: Hairul bersama ikan jenahak miliknya, kadangkala saiz ikan jenahak bercampur besar dan kecil dalam satu lubuk.

‘Merungkai’ jenahak di perairan Jeram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perairan Jeram yang terletak berhampiran Kuala Selangor kini semakin mendapat perhatian ramai pemancing dasar kerana menjadi antara lokasi terbaik untuk meman­cing ikan jenahak. Ini memandangkan struktur dasar lautnya yang menjadi habitat semula jadi spesies ikan tersebut.

Setiap kali musim air cantik tiba, jeti-jeti sekitar mula dipenuhi pemancing yang membawa harapan besar untuk menaikkan jenahak bersaiz idaman.

Namun, pemancing perlu memahami keadaan arus dan pasang surut kerana faktor tersebut memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada ikan jenahak menjadi sasaran aktif atau sebaliknya.

Ikan ini kurang aktif jika arus terlalu laju atau mati. Waktu paling sesuai biasanya ketika arus mula perlahan selepas air besar atau ketika air mula bergerak.

Ebo Fishing Charter
Bot pilihan kami kali ini daripada Ebo Fishing Charter yang berope­rasi dari Jeti Sungai Janggut, Kuala Selangor. Tekong yang sebelum ini berpangkalan di Tanjung Karang kini memilih Jeram sebagai lokasi operasi baharunya untuk akses lebih mudah ke lubuk-lubuk berpotensi di perairan sekitar.

Bot bersaiz 48 kaki panjang dan 11 kaki lebar bernadikan dua enjin 300 kuasa kuda serta dilengkapi kemudahan berpendingin hawa ternyata memberikan tahap keselesaan yang baik kepada pemancing, terutama bagi trip laut dalam memakan masa panjang.

Ruang memancing yang luas di atas bot juga membolehkan setiap pemancing bergerak dengan selesa sepanjang trip berlangsung.

Pada trip kali ini, seramai tujuh orang pemancing turun beraksi. Trip memancing seharian ini bermula seawal pukul 9 pagi dari jeti dan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan sebelum kami tiba di lubuk pertama.

Suasana di atas bot mula bertukar rancak apabila masing-masing sibuk membuat persiapan set pancing dan umpan bagi menghadapi aksi pembukaan di lubuk pilihan tekong.

Antara set yang kami gunakan adalah joran PE2-4 dan PE3-5, kekili elektrik saiz 3000 hingga 6000 untuk Shimano dan 500 hingga 800 untuk Daiwa, tali utama braid 60 hingga 70lb, perambut fluorocarbon 60 hingga 70lb dengan panjang lebih kurang dua meter

Ramai pemancing berpendapat, saat paling mendebarkan adalah beberapa saat pertama selepas sambaran berlaku.

Ketika itu, jenahak akan cuba melarikan diri ke arah struktur dasar seperti karang atau tukun bagi memutuskan tali. Jadi, pemilihan perambut berdiameter tebal penting bagi mengurangkan risiko geseran pada struktur dasar yang tajam.

Selain itu, jika pemancing gagal mengawal tekanan atau drag kekili terlalu longgar, sebab untuk kehilangan ikan juga bakal menjadi sangat tinggi.

Ahli trip bersama sebahagian daripada hasil tangkapan.

Umpan hidup
Walaupun dunia memancing kini semakin moden dengan pelbagai teknik baharu diperkenalkan, namun penggunaan umpan hidup masih dianggap sebagai senjata utama untuk memburu jenahak.

Tekong telah menyediakan pelbagai umpan hidup, antaranya 60 ekor udang lipan dan 30 ekor sotong kurita.

Sebagai bonus, pada waktu malam, tekong turut membantu kami mencandat sotong cumit yang sememangnya terkenal sebagai umpan killer bagi jenahak.

Sotong cumit hidup dikatakan mampu menarik perhatian jenahak saiz besar, terutama ketika arus mula perlahan.

Namun, semua itu hanyalah satu ikhtiar dalam dunia memancing. Kepelbagaian umpan tetap menjadi perkara wajib kerana ikan jenahak kadangkala agak memilih dan sukar dijangka mood makannya.

Ada masanya, ia lebih tertarik kepada umpan udang lipan atau sotong kurita, manakala pada waktu tertentu sotong cumit pula menjadi taruhan paling berkesan.

Lubang dan karang
Selain teknik dan umpan, faktor cuaca turut memainkan peranan penting. Laut yang terlalu bergelora bukan sahaja menyukarkan aktiviti memancing, malah boleh menyebabkan ikan kurang bernafsu.

Pemancing berpengalaman biasanya akan melihat beberapa faktor sebelum turun ke laut, jadual pasang surut, kekuatan angin, warna air, kelajuan arus dan keadaan bulan.

Tidak menunggu lama selepas sauh dilabuhkan di lubuk pertama, Hairul memilih udang lipan sebagai umpan taruhan.

Pilihan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menaikkan jenahak pertama trip dengan anggaran berat sekitar empat kilogram.

Awang pula memilih sotong kurita sebagai umpan. Beberapa ekor jenahak bersaiz hidangan berjaya dinaikkannya sepanjang petang.

Turut mencuri perhatian adalah aksi adik Zariff yang menggunakan sotong cumit sebagai umpan.

Walaupun masih muda, namun semangat dan kesabarannya di atas bot wajar diberikan pujian apabila berjaya merasai tentangan jenahak saiz kasar.

Kemuncak pesta jenahak bermula sekitar pukul 7.30 malam hingga 10 malam. Pada waktu itu, hampir setiap kali umpan dilabuhkan pasti akan menerima sambaran.

Selain jenahak, ikan gerut-gerut juga dilihat cukup galak membaham umpan pada waktu tersebut.

Namun selepas pukul 10 malam, keadaan arus mula perlahan sebelum air menjadi mati. Situasi itu menyebabkan ikan kurang aktif dan sambaran semakin berkurangan.

Secara keseluruhan, trip selama 24 jam ini dianggap cukup berjaya apabila sebanyak 25 ekor ikan jenahak dapat didaratkan bersama lima ekor ikan gerut-gerut.

Kami bergerak pulang pada pukul 10 pagi dan tiba ke jeti sekitar pukul 12 tengah hari dalam keadaan masing-masing keletihan, namun puas dengan hasil tangkapan diperolehi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN