fbpx

Rakyat Malaysia masih trauma di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK MOHD. DHIYA mengakui dia dan isteri masih trauma dan sukar tidur kerana bimbang gempa bumi berulang lagi.

PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan tiga mangsa gempa bumi dari runtuhan bangunan tujuh tingkat di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.

SMART menerusi Facebook rasminya memberitahu, operasi mengeluarkan ketiga-tiga mang­sa terperangkap itu mengambil masa dua jam menggunakan ­peralatan khas.

“Pihak SMART berjaya menjumpai tiga mangsa terdiri seorang wanita, lelaki dan kanak-kanak. Kesemua mangsa telah meninggal dunia. Salam takziah,” katanya pada hantaran tersebut semalam.

Kosmo! semalam melaporkan pasukan menyelamat menggambarkan tragedi gempa bumi yang melanda Nurdagi, Gazientep sebagai mimpi ngeri.

Komander SMART, Mohd. Khairul Jamil berkata, berdasarkan pemerhatiannya, hampir semua bangunan sepanjang ­lebih empat kilometer ke Nurdagi runtuh ekoran gempa bumi kuat yang melanda kawasan itu.

Sementara itu, seorang mang­sa gempa bumi yang juga rakyat Malaysia, Nik Mohd. Dhiya’ Nik Mohd. Rosdi mengaku dia dan isterinya yang merupakan rakyat Turkiye ketika ini dalam kea­daan trauma dan keletihan akibat­ ­bencana itu.

Katanya, walaupun kini telah selamat berada di rumah ibu mentuanya di Sakarya, Mohd. Dhiya’ masih terasa goncangan kuat tersebut sehingga berdepan kesukaran untuk tidur pada malam hari selain bimbang tragedi buruk itu akan berulang lagi.

Menyingkap kembali detik cemas itu, Mohd. Dhiya’ berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum isterinya mendengar bunyi hentakan televisyen pada dinding rumah berkali-kali.

Dia yang menetap di Şanlıurfa, sejak tahun 2020 berkata, bunyi hentakan itu semakin kuat dan disusuli dengan jeritan jiran tetangga seperti ‘dirasuk hantu’.

“Apabila sedar gempa bumi sedang terjadi, kami tidak fikir apa, terus ambil jaket tebal, barang-barang penting dan keluar berlari ke tangga bawah.

“Kami tunggu dua jam di luar dalam keadaan suhu di bawah -5 darjah Celsius. Kemudian kami tekad masuk semula ke dalam rumah untuk ke tandas serta mengambil wudhuk. Kami menunaikan solat di bangku kedai-kedai di hadapan rumah.

“Bila kami patah balik selepas solat, kelihatan bangunan ­selang tiga blok dari rumah telah runtuh. Depan rumah ada pasar, bangunan itu pun turut runtuh juga. Waktu itu memang sedih apabila melihat orang mena­ngis tambah pula dengan keadaan berdarah-darah,” katanya.

Tambahnya, tragedi itu tidak berakhir di situ kerana ketika Mohd. Dhiya’ dan isteri berada di Terminal Bas Sanlıurfa, berlaku gegaran gelombang kedua de­ngan kekuatan 6.5 skala magnitud diikuti dengan beberapa gegaran kecil susulan selepas itu.

Lebih memburukkan kea­daan, ujarnya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengatakan gegaran paling kuat dengan skala magnitud 9.6 bakal terjadi.

Dalam pada itu, Mohd. Dhiya’ turut menasihatkan semua pelancong Malaysia untuk membatalkan hasrat melancong ke timur Turkiye untuk jangka masa satu hingga tiga bulan.

Ujarnya, ini kerana kerja-kerja pembersihan kawasan runtuhan dan membaik pulih keadaan mengambil masa yang lama serta kebanyakan lebuh raya mengalami keretakan yang teruk akibat gempa bumi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI