PETALING JAYA – Keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan larangan membuka akaun baharu media sosial bagi individu di bawah usia 16 tahun bermula hari ini dengan menetapkan penggunaan MyKad sebagai syarat pengesahan menjadi langkah penting dalam melindungi keselamatan kanak-kanak.
Langkah itu adalah selari de-ngan pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mewajibkan mekanisme pengesahan umur pengguna.
Menerusi kaedah itu, ia bukan sahaja menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun secara bebas, malah mampu mewujudkan ekosistem media sosial yang lebih bertanggungjawab, selamat dan telus untuk semua pihak.
Pakar jenayah bebas dan kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, akses bebas media sosial kepada kanak-kanak bawah usia 16 tahun sebenarnya boleh membuka ruang kepada pelbagai jenayah seperti pedofilia, eksploitasi seksual dan buli siber yang dilakukan menerusi penyamaran identiti di alam digital.
Katanya, golongan itu antara paling mudah menjadi sasaran penjenayah siber kerana masih rapuh, kurang berpengalaman dan belum matang untuk menilai risiko ketika berinteraksi di media sosial.
“Bila umur 16 tahun, mereka semua sudah ada kad pengenalan. Jadi saya rasa ini satu cadangan yang baik apabila penggunaan MyKad diwajibkan untuk membuka akaun media sosial.
“Kalau ada apa-apa kandungan atau salah laku dilakukan dalam akaun tersebut, lebih mudah untuk dikesan kerana identiti pengguna sudah didaftarkan,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun kata beliau, pelaksanaan kaedah itu tetap mempunyai risiko terutama jika data pengguna disalah guna oleh sindiket penipuan atau penggodam siber.
“Kita bimbang kalau ada scammer atau hacker yang cuba menceroboh akaun-akaun ini kerana semuanya sudah berdaftar menggunakan MyKad.
“Takut data tersebut tidak digunakan dengan betul dan akhirnya menimbulkan isu lain pula,” tambahnya.
Sehubungan itu, Shahul Hamid berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu melaksanakan pemantauan ketat serta sistem keselamatan yang kukuh bagi mengelakkan pencerobohan terhadap akaun pengguna.
Susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa mulai hari ini, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan pengesahan umur.
Dua kod yang diperkenalkan MCMC itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak serta Kod Pengurangan Risiko.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara dokumen yang boleh digunakan pengguna termasuk kad pengenalan dan pasport bagi menyekat pengguna bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Shahul berkata, antara ancaman paling serius ialah penyamaran identiti apabila pelaku menyamar sebagai rakan sebaya, individu berpengaruh atau individu dipercayai bagi membina hubungan dengan mangsa sebelum melakukan eksploitasi.
Katanya, taktik itu dikenali sebagai ‘grooming’ iaitu manipulasi psikologi secara sistematik untuk mendapatkan kepercayaan sebelum berlakunya eksploitasi seksual atau pemerasan.
“Disebabkan pemikiran belum matang, mereka mudah terjebak dalam hubungan digital berisiko tanpa menyedari niat sebenar penjenayah di sebalik akaun media sosial tersebut,” katanya.
Shahul Hamid turut menjelaskan bahawa kanak-kanak dan remaja juga mudah menjadi mangsa buli siber yang boleh memberi kesan psikologi.
Menurut beliau, penghinaan, ancaman atau penyebaran kandungan memalukan boleh menyebabkan trauma jangka panjang, kemurungan dan tingkah laku agresif.
“Tekanan emosi akibat media sosial kadangkala menyebabkan remaja bertindak di luar kawalan sehingga mencetuskan pelbagai bentuk jenayah lain selain jenayah seksual,” katanya.














