fbpx

Cukai jalan digital hanya pilihan, bukan wajib – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (kiri) menunjukkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian yang juga menggunakan mod paparan digital di Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi MyJPJ untuk memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM – pelekat cukai jalan) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital adalah tidak diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menerusi Facebooknya berkata, aplikasi tersebut merupakan inisiatif untuk mereka yang ingin mendapatkan salinan digital dua dokumen tersebut secara dalam talian.

Kata beliau, pelbagai soalan timbul selepas pengumumannya semalam berhubung tidak lagi mewajibkan memakai pelekat cukai jalan di kenderaan persendirian masing-masing.

Justeru, beliau tampil menjawab persoalan dilontarkan orang awam, antaranya tidak akan disaman sekiranya tidak memuat naik memiliki aplikasi My JPJ dan gagal menunjukkan cukai jalan digital.

“Hal ini kerana pihak penguat kuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen melalui sistem dalam peranti penguatkuasaan mereka.

“Dalam pada itu, warga emas yang tidak memiliki telefon pintar dan berada di kawasan kurang capaian internet masih boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya perlu,” katanya dalam hantaran tersebut, semalam.

Menurut Anthony, cukai jalan dan lesen memandu masih perlu dibayar selepas tempoh sah tamat walaupun pelekat tidak perlu ditampal pada kenderaan.

Jelas beliau, sekiranya yang memandu kenderaan bukan pemiliknya, pemandu boleh mencetak cukai jalan digital tersebut dan menyimpannya di dalam kenderaan.

“Kalau tak dapat tunjuk bukti tersebut, ia bukan satu kesalahan, pihak penguat kuasa akan semak butiran dalam peranti mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kesukaran orang ramai untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ di peranti mereka, Anthony memaklumkan, masalah itu berlaku ekoran trafik yang sangat tinggi berikutan orang ramai ingin mendaftar masuk pada masa yang sama.

“Saya sedar dalam apa sahaja proses perubahan, ia akan mengambil masa untuk disesuaikan. Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut.

“Bagaimanapun, saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin.

“Saya bersama pasukan saya di Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan cuba memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul dalam proses perubahan ini. Sama-sama kita menuju ke arah yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI