SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi sepenuhnya selama 24 jam sehari bermula penghujung Mei ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan itu dibuat selepas semua ujian berkaitan sistem dan keselamatan selesai dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut beliau, ketika ini MAHB sedang menyediakan laporan lengkap untuk dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tujuan pengesahan akhir.
“Aerotrain untuk 24 jam akan bermula balik pada penghujung bulan Mei ini. Segala ujian telah pun dilaksanakan oleh pihak MAHB. Sekarang mereka sedang membekalkan laporan lengkap kepada pihak APAD.
“Dijangkakan selepas pengesahan oleh APAD, kita menjangkakan menjelang akhir bulan ini, aerotrain akan berfungsi semula untuk 24 jam,” katanya.
Anthony Loke berkata demikian ketika ditanya berhubung perkhidmatan aerotrain selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pas Bulanan MyPutrajaya dan MyKLIA di Stesen KLIA Ekspres & KLIA Transit KLIA T2 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan perkhidmatan aerotrain ketika ini masih beroperasi, namun dihentikan beberapa jam pada waktu malam bagi tujuan penyelenggaraan dan pemeriksaan trek.
“Sekarang pun berfungsi, cuma ada beberapa jam yang kita berhentikan pada waktu malam untuk tujuan penyelenggaraan trek dan pemeriksaan trek. Jadi menjelang akhir bulan ini, keseluruhan perkhidmatan itu akan dikembalikan untuk 24 jam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














