fbpx

Warden pusat pemulihan dadah menangis dalam mahkamah dakwa kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUFFIAN Effendy (depan) dan Nur Aslam (belakang) didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas tuduhan membunuh pelatih Puspen Perlop pada 31 Januari lalu.

SUNGAI SIPUT – Seorang warden di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Perlop gagal menahan sebak dan menangis teresak-esak ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh penghuni pusat itu pada 31 Januari lalu.

Nur Aslam Faizal, 35, yang duduk di kandang tertuduh itu dilihat menangis sambil memeluk ahli keluarganya sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa bersama pelatih pusat itu, Suffian Effendy Kadri, 30, melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Mohd. Ali Mohd. Nor, 50, di Puspen Perlop, Sungai Siput (U), pada pukul 10.30 pagi, 31 Januari 2023.

Kedua-dua tertuduh mengangguk dan mengaku faham pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Asyifa.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary dengan Nur Aslam diwakili peguam Keshvinder Singh manakala Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

Majistret Nurul Asyifa menetapkan 10 April depan sebagai tarik sebutan semula sementara menunggu laporan forensik dan hasil bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI