fbpx

Agong seru rakyat Malaysia hulur bantuan kepada Turkiye, Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-SULTAN ABDULLAH menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Rakyat Kelas Fardhu Ain Ubudiah Al-Jariah Taman Guru di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat negara ini menghulurkan bantuan kemanusian kepada Kerajaan Turkiye dan Syria yang berhadapan dengan tragedi gempa bumi.

“Kalau perlukan bantuan, kita hulurkan bantuan dan harus beri bantuan,” titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, Ubadiah Al-Jariah di Taman Guru di, hari ini.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa negara berkenaan dan menyeru semua rakyat negara ini dapat sama-sama mendoakan keselamatan rakyat negara itu.

“Agak sesuatu yang malang bagi rakyat di sana dan saya harap kita sama-sama berdoa, sembahyang hajat agar Allah dapat memberikan sedikit rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa.

“Kita di sini hanya hadapi banjir tahun demi tahun namun kita harus bersabar dan kita amat sedih (dengan) kejadian di Turkiye dan Syria itu,” titah baginda.

Sementara itu mengulas mengenai banjir di negeri ini, Al-Sultan Abdullah berharap agar semua penduduk terjejas banjir dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI