fbpx

Kisah buli sekolah asrama dalam Projek: High Council

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Projek: High Council bukan memberikan gambaran tidak baik kepada golongan remaja tetapi meninggalkan pengajaran dan kefahaman tentang situasi sebenar yang berlaku di sekolah berasrama penuh. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

SELEPAS kejayaan Projek: Anchor SPM pada 2021, pengarah Anwari Ashraf dan Razaisyam Rashid kembali dengan karya terbaharu iaitu Projek: High Council yang masih mengangkat kisah zaman persekolahan.

Jika naskhah sebelumnya mempersembahkan sisi-sisi ideal kehidupan di sekolah berasrama, High Council pula tanpa berselindung membongkar kisah gelap kewujudan kumpulan gengsterisme yang sehingga kini menjadi realiti sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah asrama.

Lebih menarik, isu tersebut menjadi fenomena apabila melibatkan sebuah kumpulan pelajar yang berkuasa menjalankan aktiviti salah laku termasuk membuli pelajar lain.
Menurut Anwari, drama pengarahannya kali ini membuka mata tentang permasalahan sebenar yang terjadi dalam kalangan pelajar terutama yang tinggal di asrama penuh.

“Tiada lagi yang mampu saya karangkan untuk watak-watak Anchor SPM tanpa menzalimi perkembangan mereka di penghujung siri tersebut buat masa ini.

“Tetapi ini tidak bermakna saya dan pasukan kehabisan kisah-kisah pendewasaan. Jadi, saya meneruskan antologi ‘Projek’ menerusi sekolah-sekolah fiksional, watak-watak dan tema-tema yang baharu.

“Kali ini, watak-watak High Council akan menempuh rintangan yang lebih kasar di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) dalam usaha mereka mendalami erti sebenar di sebalik menjadi seorang lelaki,” katanya semasa sidang akhbar drama berkenaan baru-baru ini.

Tambah Anwari, dia mempersembahkan sebuah kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah benar pernah terjadi di Malaysia apabila negara digemparkan dengan kegiatan gengsterisme di sekolah asrama penuh.

Malah, penggunaan perkataan yang digunakan dalam drama tersebut diambil dari kisah benar yang terjadi di beberapa sekolah asrama penuh.

“Apa yang saya boleh cakap, paparan kisah dalam High Council berlaku di satu sekolah yang khusus.

“Namun, tidak semestinya saya ambil semua benda yang berlaku dalam satu sekolah sahaja. Saya kutip cerita lebih kurang sama.

“Penggunaan perkataan ‘kapla’ (ketua) dan ‘jibam’ (buat laporan) memang wujud. Saya yakin sesiapa yang pernah bersekolah asrama lelaki apabila menonton cerita ini mesti ketawa atau imbas semula kenangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengarah bersama, Zulaikha Zakaria berkata, pemilihan setiap pelakon yang dibuat kerana memenuhi kriteria sesebuah watak.

“Sejujurnya, kami sangat beruntung dan bersyukur kerana pelakon-pelakon berkebolehan untuk bergaduh.

“Mereka datang ke set penggambaran membawa sikap baik, bertanggungjawab dengan karakter dan buat persediaan terlebih dahulu. Kami tidak minta mereka berbuat demikian tetapi lebih bersemangat apabila mereka dapat jayakannya.

“Memang kami pandang pemilihan karakter sebagai contoh Amir Ahnaff memegang watak ‘kapla’. Dulu dia seorang ketua pelajar, jadi Amir mampu menjadikan wataknya lebih tulen,” jelasnya.

High Council menampilkan pelakon baharu bagi watak utama iaitu Mierul Aiman yang merupakan juara Hero Remaja 2021/2022.
Pelakon lain dalam drama itu ialah Nadhir Nasar, Naim Daniel, Daiyan Trisha, Azhar Sulaiman, Yusof Hashim, Sazzy Falak dan Edika Yusof.

Drama tersebut sudah ditayangkan bermula 14 Januari lalu menerusi Astro On Demand atau Astro Go, manakala di saluran Astro Citra (108) bermula 23 Januari setiap Isnin pukul 9 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI